Buletin

"Rock 4" berjaya kutip RM2 juta sahaja selepas 2 minggu

Penulis: Ashraf Nasser


Salah satu babak dalam "Rock 4: Rockers Never Dai".

13 Mac – Pengarah filem terkenal Mamat Khalid bersyukur apabila filem terbarunya "Rock 4: Rockers Never Dai" berjaya meraih kutipan sebanyak RM2 juta selepas tamat Skim Wajib Tayang pada 6 Mac lalu iaitu dua minggu tayangan di pawagam.

"Alhamdulillah, kutipan ini berjaya diperolehi dalam keadaan yang mencabar sekarang. Pada saya ia memberi semangat untuk saya terus aktif buat filem. Mulanya saya ingat ramai yang tak suka filem ini kerana saya tampilkan karakter baru dan cerita baru berlatar zaman sekarang.

"Hanya yang kental rock akan faham kenapa saya buat cerita ini dan pergi menonton. Pada saya, sama ada orang suka atau tidak, suatu masa nanti ia tetap akan menjadi filem klasif seperti filem saya yang lain," ujarnya yang dipetik dari BH Online.


Kutipan filem keempat dari francais "Rock" ini merupakan antara yang terendah dari tiga buah filem terdahulunya yang mana filem pertama "Rock" pada tahun 2005 (jumlah tidak diketahui); "Rock Oo: Rimba Bara Kembali" (2013) kutip RM3.8 juta dan "Rock Bro! Kembali Ke Pangkal Jakan" kutip RM4.64 juta.

Dalam pada itu, Mamat juga tidak menolak kurangnya sambutan terhadap filem terbarunya itu adalah akibat daripada penularan wabak COVID-19 yang semakin meruncing di seluruh dunia ketika ini.

Filem "Rock 4: Rockers Never Dai" telah pun menemui penonton sejak 20 Februari lalu yang mana ia dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Hazama, Bulan Terry, Sharwani NS, Adam John dan ramai lagi.

Cinema Online, 13 Mac 2020


Showtimes