Buletin

"Roh" terpilih untuk bertanding di Festival Filem TOHorror Fantastic

Penulis: Nisa Irina

"Roh" akan bertanding dengan filem-filem dari UK, Jerman, Kanada, Rusia, Estonia dan Turki.
"Roh" akan bertanding dengan filem-filem dari UK, Jerman, Kanada, Rusia, Estonia dan Turki.

12 Okt – Syarikat produksi Kuman Pictures sekali lagi melakar sejarah sendiri apabila filem seram terbitan mereka,"Roh" terpilih untuk bertanding di Festival Filem TOHorror Fantastic 2020.

Berita mengujakan itu telah dikongsikan menerusi laman sosial rasmi Kuman Pictures pada Isnin.


"Sukacita dimaklumkan #filemROH dipilih untuk bertanding dalam TOHorror Fantastic Film Fest yang bertempat di Torino, Itali dari 28 Oktober hingga 1 November.

"Festival ini khusus untuk filem seram, fantasi dan saifai (sci-fi). Filem-filem lain dalam pertandingan berasal dari United Kingdom (UK), Jerman, Kanada, Rusia, Estonia dan Turki," tulis mereka.

Dalam perkembangan lain, "Roh" turut akan ditayangkan menerusi portal penstriman video Indonesia, KlikFilm, bersempena dengan pra festival Festival Filem Jogja-NETPAC Asian 2020 bermula 15 Oktober ini.

Tahun lalu, "Roh" telah menerima tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Singapura dan Festival Filem Asia Jogja-NETPAC pada tahun lalu.

Terdahulu, "Roh" berjaya bertahan di pawagam selama enam minggu dengan kutipan lebih RM500,000 walaupun situasi pandemik COVID-19 masih belum terkawal.

Filem cereka pertama arahan Emir Ezwan ini menampilkan enam pelakon hebat iaitu Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron dan isteri Junainah M. Lojong, serta Putri Syahadah Nurqaseh.

Cinema Online, 12 Oktober 2020


Related Movies:
Roh (Malay) (06 Aug 2020)

Jwplayer article page COSG

You May Also Like:
To read this article in English, CLICK HERE
Showtimes