Buletin

Sachin Tiwari jadi pilihan penerbit terajui filem "Suicide or Murder"

Penulis: Nisa Irina

Sachin Tiwari terkenal apabila orang ramai menyedari wajahnya mirip Sushant Singh Rajput.
Sachin Tiwari terkenal apabila orang ramai menyedari wajahnya mirip Sushant Singh Rajput.

22 Jul – Setelah pembikin filem Vijay Shekhar Gupta mengumumkan filem "Suicide or Murder?", kini dia telah menemui pelanduk dua serupa yang bakal menjayakan watak Sushant Singh Rajput iaitu Sachin Tiwari.

Buat pengetahuan lanjut, Sachin bukanlah seorang pelakon, tetapi seorang bintang TikTok yang gemarkan aktiviti kecergasan dan aksi lagak ngeri. Namanya naik selepas warganet menyedari wajahnya mirip Sushant.

"Kematian Sushant Singh Rajput mengejutkan kita semua tetapi ia bukan sesuatu yang baru. Ramai pelakon yang ingin mengejar impian dalam industri Bollywood tidak mendapat kerja.

"Ramai yang mengambil tindakan sebegini dan ada juga yang masih bergelut untuk meneruskan kehidupan mereka.


"Jadi, kami ingin menceritakan bagaimana pergelutan para pelakon yang berasal dari bandar-bandar kecil dan tidak mempunyai orang dalam di Bollywood.

"Kami akan mendedahkan satu per satu watak dalam filem ini dan kami akan pastikan filem ini menunjukkan kebenaran tentang pelakon-pelakon yang berasal dari Bollywood," ujar Vijay menerusi laporan Hindustan Times.

Seperti yang dilihat menerusi Instagram, Sachin telah berkongsikan sekeping poster baharu filem terbitan VSG Binge itu, yang bakal diarahkan oleh Shamik Maulik.

Melihat pada ruangan komen pula, biarpun ramai yang memberi sokongan, namun terdapat segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan meminta Sachin menarik diri kerana berpendapat tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Sushant.

Proses produksi "Suicide or Murder" dijadual untuk bermula pada September ini di Mumbai dan Punjab. Ia bakal ditayangkan pada 25 Disember 2020, bersamaan dengan Hari Natal.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Sachin Tiwari Instagram)

Cinema Online, 22 Julai 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes