Buletin

Salman Khan tonjol bakat menulis dengan hasilkan skrip filem romantik

Penulis: Nisa Irina

 Salman Khan luangkan beberapa jam setiap hari untuk hasilkan draf pertama skrip.
Salman Khan luangkan beberapa jam setiap hari untuk hasilkan draf pertama skrip.

4 Jun – Ternyata bintang terkenal Salman Khan mempunyai pelbagai bakat terpendam kerana selain berlakon, menyanyi dan melukis, kini dia mengikut jejak langkah bapanya Salim Khan sebagai penulis skrip.

Difahamkan Salman sedang menghasilkan skrip bagi sebuah filem romantik selepas menyumbang hasil penulisannya untuk memperkembangkan jalan cerita filem aksi "Dabangg 3".


"Salman sering mengemukakan konsep 'one-line'; minatnya terhadap penulisan jalan cerita mungkin timbul disebabkan oleh bapanya Salim Khan yang juga penulis.

"Sekian lama dia telah memikirkan sebuah kisah cinta pasangan muda dalam fikirannya. Tempoh Perintah Berkurung adalah waktu yang sesuai untuk mengembalikan idea itu.

"Setiap hari Salman meluangkan beberapa jam untuk menghasilkan draf pertama, dan berharap skrip itu akan siap pada hujung tahun ini," dedah satu sumber menerusi Mid-Day.

Menurut sumber itu lagi, filem yang masih belum diberi judul itu akan diterbitkan di bawah syarikat produksi milik Salman iaitu Salman Khan Films (SKF).

Walau bagaimanapun, buat masa ini berita berkenaan masih belum disahkan oleh pelakon filem "Bharat" tersebut.

Baru-baru ini, Salman telah menghadiahkan para peminatnya dengan tiga buah lagu berjudul "Bhai Bhai", "Tere Bina" dan "Pyaar Karona" sepanjang mengkuarantinkan diri di rumah ladangnya di Panvel.

Ia susulan Salman tidak dapat meriliskan filem terbarunya "Radhe: Your Most Wanted Bhai" yang dinanti-nanti ramai sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

(Sumber: Mid-Day)
(Sumber foto: Biz Asia)

Cinema Online, 5 Jun 2020


Showtimes