Buletin

Fatima Sana Shaikh bawa dua personaliti dalam "Suraj Pe Mangal Bhari"

Penulis: Nisa Irina

Fatima Sana Shaikh galas watak gadis Marathi buat kali pertama.
Fatima Sana Shaikh galas watak gadis Marathi buat kali pertama.

15 Feb – Selepas setahun tidak muncul di layar perak, aktres Fatima Sana Shaikh akan kembali berlakon menerusi filem komedi kekeluargaan arahan Abhishek Sharma.

Menerusi filem itu, Fatima diberikan watak utama sebagai seorang gadis Marathi yang mempunyai dua personaliti berbeza untuk ditampilkan dalam filem buat kali pertama.

"Watak itu mempunyai dua personaliti, yang mana pihak kami memerlukan aktor yang boleh membawa perwatakan misteri, berjiwa lembut dan tegas dengan mudah.

"Semangat Fatima membuatkan kami semua bertenaga di set penggambaran," ujar Abhishek yang dipetik menerusi laporan Mumbai Mirror.

Sebagai persiapan, Fatima yang kali terakhir dilihat membintangi filem " Thugs of Hindostan", telah menjalani beberapa latihan berlakon, termasuk mempelajari cara menggunakan bahasa tubuh (body language).

"Abhishek telah mengupah seorang jurulatih untuk melatih sebutan bahasa Fatima dan mengadakan sesi membaca skrip bersamanya serta latihan bahasa tubuh yang bersesuaian dengan wataknya sebelum mula penggambaran," dedah satu sumber.

Buat pengetahuan lanjut, pihak produksi telah melangsungkan penggambaran bermula 6 Januari lalu dan dijangka akan tamat pada pertengahan Mac depan untuk dirilis pada hujung tahun ini.

Filem terbitan Zee Studios itu juga akan menggandingkan Fatima bersama tiga aktor lain iaitu Diljit Dosanjh, Manoj Bajpayee dan Rohit Roy.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Bolly HD)

Cinema Online, 15 Februari 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes