Buletin

Sanjay Dutt kembali berlakon walaupun sedang jalani rawatan kanser

Penulis: Ashraf Nasser

Sanjay Dutt dilihat berada di studio filem Yash Raj untuk selesaikan beberapa babak untuk filem terbarunya.
Sanjay Dutt dilihat berada di studio filem Yash Raj untuk selesaikan beberapa babak
untuk filem terbarunya.

15 Sep – Bintang terkenal Sanjay Dutt dilaporkan telah kembali di set penggambaran untuk meneruskan penggambaran babak terakhir untuk filem terbarunya berjudul "Shamshera" walaupun dia kini sedang menjalani rawatan kanser.

Menurut laporan media, Sanjay baru-baru ini telah membuat pengumuman yang dirinya akan berehat seketika dari dunia seni selepas mendedahkan dirinya mengidap kanser bulan lalu.


"Hi semua, saya akan berehat buat seketika waktu dari kerja untuk menjalani rawatan. Saya bersama keluarga dan rakan-rakan dalam keadaan baik dan saya meminta orang ramai supaya tidak bimbang atau percaya dengan sebarang spekulasi.

"Dengan ucapan dan kasih sayang anda, saya akan kembali tidak lama lagi," tulisnya di laman sosial Instagram miliknya.

Bagaimanapun kelibat Sanjay dilihat di studio Yash Raj yang mana dia sempat melambai kepada jurugambar ketika meninggalkan studio itu.

Perkara itu turut disahkan oleh satu sumber yang terlibat dengan filem itu yang berkata penggambaran babak Sanjay hanya mengambil masa dua hari sahaja untuk diselesaikan.

Terdahulu, selepas didapati mengidap kanser paru-paru tahap empat, dia terus melakukan rawatan di Mumbai. Dia sudah pun selesai dengan rawatan pertama dan kini sedang menunggu untuk menjalani rawatan kedua pula.

(Sumber: Masala)
(Sumber foto: Times of India)

Cinema Online, 15 September 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes