Buletin

Shahrulezad dedah uji bakat "PLU" dapat sambutan

Penulis: Ashraf Nasser

Shahrulezad akui "PLU" adalah sebuah naskhah yang lebih 'ekstrim' dari drama bersiri "Nur" & "Nur 2".
Shahrulezad akui "PLU" adalah sebuah naskhah yang lebih 'ekstrim'
dari drama bersiri "Nur" & "Nur 2".

29 Jun – Pengarah muda berbakat besar iaitu Shahrulezad Mohameddin baru-baru ini menjadi mangsa kecaman warganet apabila dia memuat naik posting sedang mencari pelakon untuk membintangi filem terbaru arahannya berjudul "PLU: A Story" (People Like Us).

Menurut Shahrulezad, uji bakat dalam talian filem yang mengetengahkan elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.


"Penyertaan di luar jangkaan. Sekarang ini baru uji bakat peringkat pertama iaitu secara dalam talian. Sebagai permulaan, mereka dikehendaki melakonkan semula mana-mana babak dalam drama "Nur".

"Kalau ikutkan tarikh tutup pada 19 Jun lalu, tapi saya masih nak cari lagi. Jadi, sesi ini dilanjutkan sebulan lagi. Saya menjangkakan uji bakat kedua akan diadakan pada Ogos secara bersemuka.

"Ketika itu mereka akan diberikan skrip. Saya nak tengok penghayatan, lontaran dialog dan cara lakonan mereka," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Menurut Shahrulezad, dia mencari dua watak utama iaitu seorang pelakon lelaki untuk melakonkan watak pelajar tahfiz dan seorang lagi untuk jayakan watak ustaz yang mana kedua-dua watak itu mempunyai personaliti menarik dan kacak.

Dalam pada itu, pengarah yang terkenal dengan drama "Nur" dan "Nur 2" ini turut mendedahkan ada segelintir pelakon sedia ada juga ingin mencuba nasib untuk terlibat dalam filem "PLU" kerana mahu keluar dari zon selesa dan cuba bawa watak berbeza.

Bagaimanapun untuk pendatang baru mereka mahu jadikan watak itu sebagai batu loncatan untuk kecapi populariti, namun yang menjadi persoalan samada mereka sudah bersedia untuk dikecam hebat kerana filem "PLU" lebih 'ekstrim' dari drama "Nur".

(Sumber foto: Shahrulezad Instagram)

Cinema Online, 29 Jun 2020


Showtimes