Buletin

Sharnaaz Ahmad tiada masalah besarkan Jebat dengan Noor Nabila

Penulis: Nisa Irina

 Sharnaaz Ahmad ingin pastikan Jebat Jayden tidak berasa kehilangan seorang bapa.
Sharnaaz Ahmad ingin pastikan Jebat Jayden tidak berasa kehilangan seorang bapa.

3 Jul – Menolak tepi isu pergolakan rumah tangga yang berlaku suatu ketika dahulu, pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui dia kini berasa selesa meneruskan hubungan bersama isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, yang dianggap sebagai seorang kawan.

Sehubungan dengan itu, mereka masih menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak, Jebat Jayden, yang memasuki usia dua tahun pada Ogos ini.


"Kami belum bercerai tetapi keputusan mahkamah bakal keluar tidak lama lagi. Apa yang saya nak beritahu sekarang ini hubungan kami sebagai kawan yang akan bersama-sama membesarkan anak.

"Berkaitan keputusan rumah tangga, saya serahkan kepada mahkamah. Sejak kes ini difailkan di mahkamah, saya reda dan bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

"Kalau hubungan kami kembali berbaik pun, hanya mahkamah yang akan menentukan sekarang ini sebabkan kuasa diserahkan kepada mereka dan apa saja keputusan yang bakal diterima.

"Tetapi, apa yang saya perjuangkan selama ini untuk bersama Jebat, saya sangat bersyukur kerana Nabila mengizinkan saya bertemu atau membawa anak keluar tanpa sebarang halangan," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Menurut pelakon filem "Wangi" itu, Nabila disifatkan sebagai seorang ibu yang bagus kerana membesarkan anak mereka dengan penuh kasih sayang serta menghargai pengorbanan kakak kepada pelakon dan pengacara, Neelofa, itu.

Tambahan lagi, Sharnaaz turut bersyukur kerana berpeluang untuk bertemu dengan Jebat selama tiga kali sehari pada sebelah pagi, petang dan malam biarpun kepenatan dengan rutin hariannya.

"Jika saya sibuk dengan penggambaran dan terpaksa keluar awal pagi ke set, saya akan hubungi Jebat melalui panggilan video. Saya dan Nabila cuba menerapkan konsep keibubapaan yang baik kerana kami mahu Jebat rasa hidupnya lengkap dan tidak kehilangan bapa," katanya.

Beralih ke perkembangan kariernya, Sharnaaz bakal kembali ke layar perak menerusi filem aksi "Polis EVO 3" arahan Syafiq Yusof, bersama barisan pelakon lain seperti Shaheizy Sam, Zizan Razak dan Nora Danish.

(Sumber foto: Jebat Jayden Instagram)

Cinema Online, 3 Julai 2020


Showtimes