Buletin

Sharnaaz Ahmad kembali ke Viu dengan siri 'original' "Isteri Misteri"

Penulis: Nisa Irina

Saksikan lakonan Sharnaaz sebagai sang suami kepada tiga isteri dalam "Isteri Misteri"!
Saksikan lakonan Sharnaaz sebagai sang suami kepada tiga isteri dalam "Isteri Misteri"!

20 Nov – Selepas menjayakan siri 'original' Viu, "Devoted", pelakon Sharnaaz Ahmad bakal kembali ke platform penstriman video terkenal itu selepas diumumkan untuk membintangi siri baru "Isteri Misteri".

Berita itu telah diumumkan oleh syarikat produksi Primeworks Studios Sdn Bhd, yang juga anak syarikat kepada Media Prima Berhad, melalui laman Facebook rasmi mereka pada Rabu.

Menerusi drama arahan Faisal Ishak dan Esham Shahlin itu, Sharnaaz akan digandingkan bersama barisan pelakon wanita berbakat iaitu Tiz Zaqyah, Sharifah Sakinah, Azira Shafinaz dan Azar Azmi.

"Isteri Misteri" mengisahkan Rizal, seorang kaki perempuan yang menerima ramalan seorang dukun bahawa isterinya ingin membunuhnya.


Dengan bantuan pembantunya, Jun, dia perlu menyelamatkan dirinya serta menghalang rancangan isterinya. Namun, masalah utamanya adalah dia mempunyai tiga orang isteri!

Terdahulu, Primework Studios telah menandatangani usaha sama dengan Viu bagi memenuhi citarasa para penonton, sekaligus memperkembangkan lagi syarikat mereka menerusi peneraju perkhidmatan penstriman video OTT (over-the-top) serantau tersebut.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz bakal kembali ke layar perak menerusi filem aksi "Polis EVO 3" yang dijangka tayang pada 2021.

(Sumber foto: Grand Brilliance Facebook)

Cinema Online, 20 November 2020


Showtimes