Buletin

Sharwani NS tonton semula trilogi "Rock" untuk persiapan "Rock 4"

Penulis: Nisa Irina


Sharwani NS terima tunjuk ajar daripada Pekin Ibrahim untuk "Rock 4".

14 Feb – Kembali menjayakan filem "Rock 4: Rockers Never Dai" arahan Mamat Khalid, pelakon Sharwani NS memberitahu dia perlu menonton semula trilogi filem "Rock" untuk mendapatkan penghayatan bagi wataknya.

"Saya kena kaji semula muzik rock 90-an kerana dalam 'mindset' saya "Rock Bro" adalah filem terakhir, jadi tak akan ada lagi filem "Rock" selepas ini. Namun apabila meneliti skrip, saya perlu 'kembali' ke tahun itu semula.

"Saya juga menonton trilogi "Rock" berulang-ulang kali untuk mendapatkan penghayatan. Selain itu, saya banyak menerima tunjuk ajar daripada Pekin Ibrahim dari segi dialog dan cara untuk lakonkan watak penagih dadah," katanya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "Rock 4" di Petaling Jaya.


Dalam pada itu, Sharwani yang memegang watak sebagai Dio, berpendapat bahawa filem "Rock 4" itu relevan untuk ditayangkan kepada orang ramai terutamanya golongan muda masa kini.

"Bagi saya filem ini sangat relevan kerana ia menggambarkan muzik rock zaman sekarang dan masalah yang melanda industri muzik negara kita pada ketika ini. Banyak mesej tersurat dan tersirat yang Abang Mamat telah masukkan dalam filem ini," tambahnya lagi.

Selain Sharwani, filem terbitan Primeworks Studios itu turut menampilkan barisan penyanyi dan pelakon baru iaitu Hazama, Adam John, Bulan Terry dan Nazimi Fahmi sebagai ahli kumpulan Rimba Bara 2.

Turut membuat penampilan khas dalam filem itu ialah bekas ahli kumpulan Rimba Bara, Khir Rahman dan Pekin Ibrahim, serta Dato' Awie, Kamarool Hj Yusof, Edrie Hashim, Tam Spider dan ramai lagi.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Rimba Bara 2 dalam filem "Rock 4: Rockers Never Dai" yang bakal menggegarkan pawagam bermula 20 Februari ini!

Cinema Online, 14 Februari 2020


Showtimes