Buletin

Shilpa Shetty punca Shamita gagal di Bollywood?

Penulis: Nisa Irina

Shilpa Shetty akui kuat bergaduh dengan adiknya Shamita sewaktu kecil.
Shilpa Shetty akui kuat bergaduh dengan adiknya Shamita sewaktu kecil.

11 Sep – Aktres terkenal Shilpa Shetty mengakui dia berasa kurang senang dengan adiknya yang juga aktres, Shamita, sehingga merasakan dia tidak lagi berpeluang kerja di Bollywood setelah Shamita membuat debut.

Buat makluman lanjut, Shamita melangkah ke dunia Bollywood buat pertama kali menerusi filem ikonik "Mohabbatein", dan perkara itu membuatkan Shilpa tidak senang duduk lebih-lebih lagi apabila dia percaya penampilan adiknya lebih menarik.

Biarpun Shamita telah membintangi pelbagai filem selepas "Mohabbatein", namun kerjayanya dalam industri masih belum kukuh, di mana kali terakhir dia dilihat di layar perak adalah pada 2008 dan menjadi finalis program "Fear Factor: Khatron Ke Khiladi 9".

"Saya sering merasakan dia adalah adik beradik yang lebih cantik dan berkulit cerah. Dia juga seorang aktres dan penari yang lebih baik daripada saya.

"Jadi di sini saya ingin mengaku yang saya rasa saya tidak lagi akan dapat kerja selepas dia membuat debut," ujar Shilpa yang dipetik dari laporan Womans Era.


Tambah aktres "Om Shanti Om" itu lagi, dia sering membuli dan bergaduh dengan adiknya sewaktu kecil sehingga pernah mengakibatkan kecederaan di wajah Shamita.

Dalam pada itu, Shamita membuat pengakuan bahawa dia juga berdepan pergelutan sendiri ketika cuba mengukuhkan nama dalam industri suatu ketika dahulu.

"Di sekolah, saya seorang yang aktif dalam sukan. Apabila saya melangkah ke industri perfileman, semuanya berubah serta merta. Saya bergelut dalam mencari identiti sendiri. Media juga agak kasar dengan saya," luahnya.

Beralih ke perkembangan lain, Shilpa akan muncul dalam dua buah filem iaitu "Nikamma" dan "Hungama 2" setelah enam tahun tidak berlakon di layar perak, sementara Shamita akan dilihat membintangi filem "The Tenant".

Buat masa ini, tarikh tayangan bagi ketiga-tiga filem berkenaan belum didedahkan memandangkan ianya masih berada dalam proses penggambaran dan pos-produksi.

(Sumber: Womans Era)
(Sumber foto: Pinkvilla)

Cinema Online, 11 September 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes