Buletin

Shah Rukh Khan, Aamir Khan & Salman Khan disatukan dalam "Laal Singh Chaddha"?

Penulis: Nisa Irina

Ini merupakan gandingan pertama Shah Rukh Khan, Aamir Khan dan Salman Khan!
Ini merupakan gandingan pertama Shah Rukh Khan, Aamir Khan dan Salman Khan!

21 Nov – Kemungkinan besar para peminat bakal menyaksikan gandingan tiga 'Khan' terkenal Bollywood dalam filem terbaru Aamir Khan, "Laal Singh Chaddha" memandangkan Shah Rukh Khan dan Salman Khan akan tampil dalam filem itu.

Memetik laporan dari Mumbai Mirror, difahamkan Shah Rukh Khan akan mengembalikan watak ikoniknya Raj Malhotra dari filem "Dilwale Dulhania Le Jayenge", sementara watak Salman masih belum ditetapkan buat masa ini.

"Lakon layar itu memaparkan detik-detik ikonik dari setiap dekad dan memandangkan kami sayangkan idola-idola filem kami, pengembaraan Chaddha tidak akan lengkap tanpa bintang-bintang terkenal ini.


"Jadi, dalam perjalanan mencari diri sendiri ini, Aamir akan bertemu Shah Rukh Khan di sekitar era tayangan "Dilwale Dulhania Le Jayenge" dan berkongsi pengalaman peribadinya.

"Dia akan kembali ke tahun 1955 dalam versi yang lebih muda dengan penggunaan solekan prostetik dan kesan visual (VFX)," dedah satu sumber.

Tambah sumber itu lagi, kemunculan mereka bukanlah watak cameo, sebaliknya masing-masing memegang watak penting bagi menggerakkan jalan cerita filem tersebut.

Jika perancangan ini diteruskan, maka ia menandakan kolaborasi ketiga-tiga mereka dalam satu filem buat kali pertama, dan semestinya ia akan melakar sejarah baru dalam industri perfileman Bollywood.

"Laal Singh Chaddha" adalah adaptasi versi Hindi kepada filem klasik Amerika "Forrest Gump" (1994), dan tayangannya telah ditunda dari Disember 2020 ke suatu tarikh baru pada 2021.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: MBS News)

Cinema Online, 21 November 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes