Buletin

Shah Rukh Khan tolak projek filem Salman Khan dan Sanjay Leela Bhansali?

Penulis: Nisa Irina

Shah Rukh Khan tolak projek filem kerana bimbang akan kegagalan.
Shah Rukh Khan tolak projek filem kerana bimbang akan kegagalan.

10 Sep – Sudah hampir setahun bintang Bollywood Shah Rukh Khan tidak membuat kemunculan di layar perak dan para peminat sudah ternanti-nanti bilakah waktunya untuk aktor itu kembali berlakon.

Seperti sedia maklum, Shah Rukh Khan membuat keputusan untuk berehat sementara waktu dari industri setelah filemnya "Zero" arahan Anand L. Rai, gagal menerima sambutan pada dua tahun lalu.

Memetik laporan dari Zoom TV, aktor yang memegang gelaran 'King of Bollywood' itu telah menolak kira-kira 20 tawaran projek filem, termasuk filem Salman Khan, Sanjay Leela Bhansali, Ali Abbas Zafar dan Madhur Bhandarkar.

"Shah Rukh Khan inginkan filem solo bersama Ali dan mungkin ia akan direalisasikan kelak. Jika dia memilih untuk berhati-hati dengan tawaran filem, bayangkan kekuatan dan kualiti filem-filem yang akan membangkitkan keterujaannya.


"Memang tidak ada perasaan ragu-ragu bahawa kesemua filemnya akan pecah panggung seperti dahulu dan dia akan kembali untuk menaiki tangga teratas," ujar satu sumber.

Terdahulu, Shah Rukh Khan dikhabarkan bakal membuat kemunculan semula dalam filem biografi Rakesh Sharma, "Salute", namun dia menarik diri sebelum penggambaran bermula kerana bimbang filem itu akan gagal.

Selain itu, Shah Rukh Khan juga dikatakan telah menolak projek filem Kabir Khan, Aditya Chopra dan Karan Johar, namun skrip filem-filem itu masih belum dihasilkan ketika dia ditawarkan.

Tiada apa yang boleh dipastikan setakat ini selagi Shah Rukh Khan sendiri tidak tampil untuk mengumumkan filem-filem yang bakal dibintanginya pada masa akan datang.

(Sumber: Zoom TV)
(Sumber foto: Filmfare)

Cinema Online, 10 September 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes