Buletin

Stesen TV Korea rancang hasilkan dokumentari tentang Sulli

Penulis: Nisa Irina

Dokumentari itu akan memaparkan perjalanan karier Sulli dalam dunia hiburan.
Dokumentari itu akan memaparkan perjalanan karier Sulli dalam dunia hiburan.

13 Ogos – Stesen televisyen Korea Selatan Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) merancang untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari tentang bintang Kpop dan aktres terkenal Choi Jin-Ri atau lebih dikenali sebagai Sulli.

Menurut laporan dari Somag News, dokumentari itu akan memaparkan kehidupan harian Sulli termasuk klip-klip rakaman temu bual bersama keluarga, teman-teman rapat serta rakan-rakan sekerja dari agensinya SM Entertainment.

Biarpun MBC merancang untuk menayangkan dokumentari bekas anggota kumpulan f(x) itu pada ulang tahun kematiannya iaitu pada Oktober, namun mereka masih belum menetapkan tarikh yang muktamad.


Seperti yang diketahui umum, Sulli merupakan antara bintang Kpop yang menderita dan mengalami kemurungan akibat pembulian siber, menyebabkan dia membuat tindakan drastik dan membunuh diri pada 14 Oktober 2019.

Untuk rekod, Sulli membuat debut sebagai pelakon seawal usia 11 tahun menerusi drama "Ballad Of Seodong" sebelum menceburi dunia Kpop menerusi kumpulan f(x) di bawah agensi SM Entertainment.

Walau bagaimanapun, Sulli membuat keputusan untuk menarik diri dari kumpulan itu pada 2015 untuk memberi tumpuan terhadap karier lakonan. Antara drama lakonannya ialah "Oh! My Lady" dan "To the Beautiful You".

Tidak lama sebelum kematiannya, Sulli turut membuat penampilan cameo dalam drama bersiri terkenal, "Hotel del Luna", yang dibintangi teman rapatnya, aktres dan bintang Kpop IU.

(Sumber foto: Thursday Island)

Cinema Online, 13 Ogos 2020


Showtimes