Buletin

"Suraya" jadi pilihan Ainul Aishah galas watak antagonis

Penulis: Nisa Irina

Ainul Aishah teruja membawa watak gelap buat kali pertama.
Ainul Aishah teruja membawa watak gelap buat kali pertama.

8 Jan – Sekian lama kelibatnya tidak muncul di layar perak, kini pelakon Ainul Aishah kembali menjayakan watak antagonis buat kali pertama menerusi filem seram terbaru arahan Feisal Azizuddin berjudul "Suraya".

Disoal mengapa memilih filem ini sebagai medium untuk membuat kemunculan semula, Ainul atau nama sebenarnya Ainul Aishah Azizun berkata, dia tertarik dengan skrip yang membolehkannya meneroka sisi baru dalam lakonannya.

"Saya anggap ini satu rezeki untuk saya. Bukan tak pernah dapat tawaran watak jahat sebelum ini, tetapi selepas saya baca skrip, memang saya tak fikir panjang untuk terima tawaran ini.

"Saya suka watak ini sebab saya dapat bereksperimen dan teroka perkara baru. Saya rasa ini watak paling menarik yang saya pernah dapat sepanjang bergelar pelakon," katanya yang ditemui di majlis sidang media tayangan perdana filem "Suraya" di mmCineplexes eCurve, Damansara, semalam.

Menurut Ainul, dia banyak menerima tunjuk ajar dan membuat rujukan serta perbincangan daripada pengarah untuk mencipta watak Suraya seperti yang diinginkan.

"Pengarah ada menyuruh saya menonton beberapa filem dan saya cuba olah sendiri watak Suraya dari apa yang saya belajar dari filem-filem tersebut. Dari situ, pengarah akan beritahu apa yang kurang dalam lakonan saya.


"Memang saya banyak berbincang dengan pengarah dan saya perlu betul-betul menghayati watak Suraya yang psiko selama dua minggu di set penggambaran," tambahnya lagi.

Tambah pelakon yang terkenal dengan drama "Lara Aishah" itu lagi, antara cabaran yang dihadapi ketika penggambaran ialah perlu bertutur secara perlahan dan mengekalkan riak wajah serius bagi watak tersebut.

Selain Ainul, filem terbitan Feisk Productions itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Amir Rahim, Farihin Ufiya, Yunadia Mohamad dan Azhar Amir. Filem "Suraya" akan ditayangkan di pawagam bermula 9 Januari ini.

Dalam perkembangan lain, Ainul akan membintangi sebuah drama bersiri seram arahan Joon Goh berjudul "Hantu Tales" di bawah terbitan Red Communications.

Cinema Online, 8 Januari 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes