Buletin

Sushant Singh Rajput pernah cari cara mati tanpa sakit di Internet

Penulis: Nisa Irina

Sushant Singh Rajput cari namanya sendiri di Google beberapa jam sebelum kematiannya.
Sushant Singh Rajput cari namanya sendiri di Google beberapa jam sebelum kematiannya.

5 Ogos – Polis Mumbai menemui perkara yang mengejutkan setelah menjalankan siasatan terhadap kematian Sushant Singh Rajput melalui sejarah penyemakan imbas aktor itu di Internet.

Menurut Pesuruhjaya Polis Mumbai, Param Bir Singh, Sushant telah mencari beberapa perkataan seperti 'kematian yang tidak menyakitkan', 'skizofrenia' dan 'gangguan bipolar' menerusi pelayar sesawang Google Chrome.

Selain itu, Sushant juga mencari namanya sendiri serta nama bekas pengurusnya Disha Salian, beberapa jam sebelum kematiannya. Butiran-butiran itu didapati melalui telefon pintar dan komputer riba miliknya.

"Kami membuat kesimpulan bahawa Sushant menghidap gangguan bipolar, dia sedang menjalani rawatan dan diberi ubat-ubatan. Punca kematiannya masih lagi disiasat.


"Tiada bukti terhadap mana-mana ahli politik dari mana-mana parti seperti yang tular di media sosial," jelas Singh yang dipetik dari laporan NDTV.

Dalam pada itu, pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap kes yang difailkan oleh bapa Sushant, Krishna Kumar Singh, terhadap teman wanita Sushant yang juga aktres Rhea Chakraborty baru-baru ini.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, bapa Sushant telah menuduh Rhea sebagai pencuri gara-gara terdapat penyata transaksi sejumlah wang yang dikeluarkan dari akaun bank aktor tersebut.

Sehubungan dengan itu, pihak polis telah pun menganalisa penyata akaun bank milik Sushant dari Januari 2019 hingga Jun 2020, dan mendapati tiada wang yang dipindahkan ke akaun bank Rhea, namun siasatan masih dijalankan.

Sushant yang pernah membintangi filem "M.S. Dhoni: The Untold Story" dan "Chhichhore", ditemui tidak bernyawa di kediamannya setelah bunuh diri dengan cara menggantung diri.

(Sumber: NDTV)
(Sumber foto: DTNext)

Cinema Online, 5 Ogos 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes