Buletin

Suspek pecah masuk rumah Goo Hara dipercayai kenalan rapat

Penulis: Nisa Irina

 Peti besi milik Goo Hara telah dibawa lari oleh suspek.
Peti besi milik Goo Hara telah dibawa lari oleh suspek.

12 Okt – Suspek yang memecah masuk rumah Goo Hara pada pertengahan Januari lalu dipercayai adalah kenalan rapat kepada bintang Kpop popular tersebut.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah merakamkan aksi seorang lelaki yang tidak dapat dikenal pasti memanjat tembok dan memecah masuk rumah Goo Hara pada 14 Januari, iaitu tiga hari selepas kematiannya.

Suspek kemudiannya menyelinap keluar bersama sebuah peti besi yang dipenuhi dengan dokumen-dokumen serta telefon pintar lama penting milik Goo Hara.


Menyedari tingkah lakunya dirakam oleh CCTV, suspek lantas menutup CCTV menggunakan dedaun sebelum melarikan diri.

Memetik laporan dari Korea Boo, pakar analisis membuat kesimpulan bahawa suspek itu adalah kenalan rapat Goo Hara memandangkan tingkah lakunya agak cuai dan tidak profesional.

Suspek difahamkan mengambil langkah alternatif lain dengan memasuki rumah itu melalui beranda di tingkat dua, setelah gagal membuka pintu utama menggunakan kod laluan lama.

"Saya mendapati peti besi itu hilang pada April. Saya lihat semula rakaman CCTV bersama abangnya, Goo Ho In. Ada rakaman di mana pencuri itu cuba menutup lensa dengan daun-daun.

"Nampak seperti dia cuba menyembunyikan identitinya. Saya dah tukar kod laluan rumah itu selepas Goo Hara meninggal dunia. Hanya Goo Ho In dan saya tahu kod laluan yang baru. "Saya rasa pencuri itu cuba membuka pintu dengan kod laluan lama, iaitu 2**2," dedah salah seorang teman rapat Goo Hara, yang dikenali sebagai K.

Sementara itu, Goo Ho In juga mengesyaki bahawa suspek adalah kenalan rapat adiknya memandangkan dia tahu struktur rumah itu dengan begitu teliti.

"Sesiapa yang pergi ke rumah itu pertama kali tak akan tahu cara untuk masuk melalui beranda. Dia juga tahu pintu utama tidak dikunci seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, peguam Goo Ho In, Noh Jong Won memberitahu sehingga kini tiada perkembangan baru mengenai kes tersebut walaupun ia telah dilaporkan pada Mei lalu.

Goo Hara ditemui meninggal dunia di rumahnya di Cheongdam-dong, Gangnam, pada 24 November 2019, dipercayai akibat bunuh diri.

(Sumber foto: NBC News)

Cinema Online, 12 Oktober 2020


Showtimes