Buletin

Syafie Naswip terkesan dengan pemergian pelakon Jepun Haruma Mirua

Penulis: Nisa Irina

Syafie Naswip anggap Haruma Mirua sebagai satu sumber inspirasi dalam lakonan.
Syafie Naswip anggap Haruma Mirua sebagai satu sumber inspirasi dalam lakonan.

20 Jul – Pemergian pelakon Jepun Haruma Mirua baru-baru ini meninggalkan kesan kepada ramai peminat di serata dunia termasuk pelakon Syafie Naswip.

Sehubungan dengan itu, Syafie atau nama sebenarnya Mohd Shafie Naswip, yang menganggap Mirua sebagai salah seorang idolanya tampil memberi 'tribute' kepada pelakon tersebut di laman Instagram.

"'Rest in peace' Haruma Mirua. Alahai pelakon kegemaran dah meninggal dunia. Teringat dulu pasang "Sky of Love" berjuta kali sebab suka keserasian mereka (Mirua dan Yui Aragaki). Terima kasih kerana beri inspirasi.

"Menonton filem ini tidak pernah bosan, mungkin sebab mereka berdua jujur. Antara filem yang buat saya lebih bersemangat untuk teruskan usaha dalam hidup.


"Antara pelakon yang saya selalu ikuti hasil kerjanya. Terima kasih atas semua usaha keras dan motivasi kamu. Sememangnya salah seorang pelakon terbaik," tulis pelakon filem "Polis EVO 2" itu.

Mirua yang pernah membintangi filem 'live-action' "Attack on Titan" dan "Kimi Ni Todoke" ditemui mati bunuh diri di kediamannya di Tokyo pada 18 Julai lalu. Melihat kepada nota bunuh diri di biliknya, difahamkan pelakon itu mengalami kemurungan.

Dalam pada itu, Syafie turut memberi pesanan kepada orang ramai supaya menjadi pendengar yang baik kepada orang-orang sekeliling, terutamanya yang bergelut dengan kemurungan atau depresi.

"Tidak semua perkara atau masalah mampu didengari atau difahami orang sekeliling termasuk keluarga. Kemurungan perlukan pendengar. Jangan bandingkan masalah anda dengan mereka. Belajar untuk mendengar," tambahnya lagi.

Terdahulu, Syafie turut terkesan dengan pemergian pengarah Allahyarham Nurhalim Ismail yang pernah bekerjasama dengannya buat beberapa kali bagi projek-projek drama dan telefilem.

Dalam perkembangan lain, Syafie akan kembali ke layar perak dengan sebuah filem komedi romantik arahan Jefri Talib berjudul "Kenderaan Berat Ikut Kiri", yang menggandingkannya dengan pelakon Sweet Qismina.

(Sumber foto: Syafie Naswip Instagram & MSN)

Cinema Online, 20 Julai 2020


Related Movies:
Polis Evo 2 (Malay) (29 Nov 2018)

Jwplayer article page COSG
Showtimes