Buletin

Syamsul Yusof tak teragak-agak untuk saman sebuah saluran YouTube

Penulis: Nisa Irina

Syamsul Yusof nasihatkan pencipta kandungan digital untuk hormati orang lain.
Syamsul Yusof nasihatkan pencipta kandungan digital untuk hormati orang lain.

29 Sep – Pelakon, penerbit dan pengarah Syamsul Yusof berang apabila sebuah saluran YouTube menerbitkan video yang boleh mencetuskan fitnah berhubung isu pergolakan rumah tangganya dengan Puteri Sarah.

Baru-baru ini, perkongsian di laman Instagram Puteri Sarah telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet, namun kedua-dua pihak enggan mengulas lebih lanjut tentang apa yang berlaku.


Menurut Syamsul dalam satu video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, tajuk video saluran YouTube itu boleh mengundang salah faham serta mengeruhkan lagi keadaan.

Sehubungan dengan itu, pengarah filem "Munafik 2" itu juga menegaskan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemilik saluran YouTube berkenaan kerana menggunakan namanya.

"Kamu semua nak main-main dengan saya kan? Berani tulis tajuk macam ini, hanya untuk dapatkan 'views' di YouTube. Saya dah selidik saluran ini dari Malaysia dan kita akan dapatkan dia punya ID.

"Ini sudah melampau. Jangan main-main dengan nama saya. Tolong berhenti gunakan nama saya. Saya tahu ia adalah kerja kamu untuk dapatkan 'views' tetapi tolonglah hormat orang lain, hormat artis.

"Saya ada keluarga, saya ada anak-anak. Saluran YouTube ini telah menulis tajuk yang boleh membawa kepada fitnah dan perbincangan keluarga saya. Seperti apa yang saya cakap, saya tak akan berdiam diri.

"Saya akan saman kamu, jumpa di mahkamah. Ini bukan tentang duit. Cuma nak ajar sikit. Kalau ada artis-artis lain yang sebelum ini pernah kena dan takut nak saman, ini Syamsul nak saman kamu. Saya tak main-main," katanya.

Rata-rata pengguna Instagram termasuk beberapa rakan artis bersetuju dengan tindakan Syamsul serta menasihatkan orang ramai supaya tidak masuk campur dengan urusan rumah tangga orang lain.

Terdahulu, Syamsul meminta orang ramai supaya mendoakan yang terbaik buat hubungan rumah tangganya bersama Puteri Sarah selepas isterinya itu dilihat bersama ibu mentuanya di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.

(Sumber foto: Syamsul Yusof Instagram)

Cinema Online, 29 September 2020


Showtimes