Buletin

Tiada filem Salman Khan akan dirilis pada Aidilfitri 2020

Penulis: Nisa Irina

Perayaan Aidilfitri sudah sinonim untuk Salman Khan menayangkan filem-filemnya
Perayaan Aidilfitri sudah sinonim untuk Salman Khan menayangkan filem-filemnya

23 Mei – Bintang terkenal Salman Khan sememangnya terkenal untuk menayangkan filem-filemnya setibanya Aidilfitri setiap tahun namun berbeza dengan tahun ini memandangkan industri perfileman terjejas kerana pandemik COVID-19.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Salman sepatutnya meriliskan filem aksi terbitannya yang dinanti-nanti ramai, "Radhe: Your Most Wanted Bhai" pada hari raya yang bakal tiba beberapa hari lagi.

Penganalisis perdagangan filem Taran Ardash tampil untuk memberi penerangan mengenai perkara itu apabila penangguhan tarikh tayangan filem "Radhe" memberi impak besar kepada para peminat Salman.

"Tahun ini, seperti yang kita semua tahu, tiada filem akan dirilis bersempena minggu perayaan Aidilfitri dan ianya sudah menjadi tradisi, sebenarnya jika anda perasan sejak sedekad lalu, filem-filem Salman Khan dirilis pada perayaan Aidilfitri.

"Pada 2013, berlaku pengecualian apabila Salman tidak dapat menayangkan filemnya pada minggu pertama Aidilfitri kerana filem "Chennai Express" dirilis.

"Semestinya tahun ini ada pengecualian juga kerana berlakunya pelanggaran tarikh tayangan antara filem Akshay Kumar "Laxmmi Bomb" dan filem Salman Khan "Radhe".


"Sepatutnya dua filem ini akan ditayang serentak pada minggu Aidilfitri tetapi ia tidak akan berlaku tahun ini," jelasnya menerusi laporan Times of India.

Dalam pada itu Taran memberitahu orang ramai sudah boleh menjangkakan bahawa filem-filem besar bakal dirilis pada tahun hadapan jika situasi pandemik sudah berakhir.

Berbalik kepada filem "Radhe", sehingga kini pihak produksi masih belum berkesempatan untuk menyambung proses penggambaran, disusuli dengan proses pos-produksi sebaik sahaja penggambaran selesai.

Selain Salman, filem arahan Prabhu Deva itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Disha Patani, Randeep Hooda dan Jackie Shroff, serta penampilan istimewa oleh Jacqueline Fernandez.

Terdahulu, Salman berjaya menjadikan perayaan Aidilfitri sebagai arus perdana bagi industri filem Hindi, bermula pada Aidilfitri 2009 di mana filem "Wanted" ditayangkan diikuti dengan "Dabangg" pada 2010.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Wikimedia & India.com)

Cinema Online, 23 Mei 2020


Showtimes