Buletin

Tiger Shroff akui tak dapat tandingi bakat bapa, Jackie

Penulis: Nisa Irina

Tiger Shroff dan bapanya telah berkongsi skrin dalam filem aksi "Baaghi 3".
Tiger Shroff dan bapanya telah berkongsi skrin dalam filem aksi "Baaghi 3".

10 Okt – Biarpun dikenali sebagai aktor berbakat besar, namun bintang Bollywood Tiger Shroff memberitahu dia tidak mampu untuk menandingi bapanya, pembikin filem dan aktor terkenal Jackie Shroff.

Menurut aktor filem "War" itu, bapanya merupakan individu pertama yang sentiasa dipandang tinggi dan dianggap sebagai penggerak hidupnya.

"Seorang bapa adalah ikon kepada setiap anak. Anak akan bergantung kepada bapa mereka dan ingin menjadi sepertinya. Saya bersyukur kerana ini adalah realiti saya.

"Sejak kecil lagi, saya memang mengagumi bapa saya dan menjadi peminat nombor satunya. Saya sentiasa memandang tinggi bapa saya. Ternyata dialah hero saya.


"Matlamat saya adalah sentiasa memberi perhatian dan kasih sayang sepuluh kali ganda kepada keluarga dari apa yang mereka berikan sepanjang hidup saya.

"Mungkin saya tak mampu tandingi bapa saya, tetapi saya harap suatu hari nanti saya mampu untuk buat dia bangga," ujar Tiger yang dipetik dari laporan Times of India.

Dalam perkembangan lain, selepas menjayakan filem "Baaghi 3" bersama bapanya baru-baru ini, Tiger mempunyai tiga lagi filem besar dalam tangan, iaitu "Ganpat", 'remake' filem "Rambo" dan sekuel "Heropanti".

Sementara itu, Jackie pula tidak kurang sibuknya dengan beberapa projek filem India Selatan dan Punjabi yang akan mula penggambarannya tidak lama lagi.

Selain itu, Jackie juga bakal muncul dalam filem aksi Salman Khan, "Radhe: Your Most Wanted Bhai" dan filem Akshay Kumar, "Sooryavanshi".

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Koimoi)

Cinema Online, 10 Oktober 2020


Related Movies:
Baaghi 3 (Hindi) (06 Mar 2020)
Student Of The Year 2 (Hindi) (10 May 2019)

Pautan Berkaitan:
Showtimes