Buletin

"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" tak berjaya ke Oscars

Penulis: Ashraf Nasser


"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" filem animasi tempatan paling mahal pernah
dihasilkan selain mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan.

14 Jan – Harapan peminat tempatan untuk menyaksikan filem animasi tempatan "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" bertanding di Anugerah Akademi ke-92, atau lebih dikenali sebagai Oscars untuk kategori Filem Animasi Cereka Terbaik musnah apabila ia gagal ke pencalonan akhir.

Walaupun gagal untuk tersenarai dalam pencalonan akhir, namun Les' Copaque tidak berasa kecewa langsung dan akan terus menghasilkan animasi berkualiti.

"Filem ini adalah filem animasi Malaysia pertama yang disenarai pendek dalam acara anugerah itu dan ia menjadi kebanggaan buat kami. Selepas ini, ada lebih banyak lagi karya animasi daripada Les' Copaque.


"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tumpang gembira dan menyokong perjalanan filem ini menuju Oscars," ujar Pengarah Isi Kandungan Kreatif iaitu Nur Naquyah Burhanuddin yang dipetik dari Harian Metro.

Senarai pencalonan akhir Anugerah Oscars diumumkan menerusi laman sesawang rasmi dan secara langsung di saluran YouTube Oscars semalam.

Lima filem animasi yang layak ke peringkat akhir adalah "Toy Story 4", "How To Train Your Dragon: The Hidden World", "I Lost My Body", "Klaus" dan "Missing Link".

Acara anugerah paling berprestij itu akan berlangsung pada 10 Februari 2020 di Dolby Theatre di Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

(Sumber foto: Star2)

Cinema Online, 14 Januari 2020


Showtimes