Buletin

Varun Dhawan beri semangat kepada orang ramai tangani COVID-19

Penulis: Nisa Irina

Varun Dhawan hargai jasa wira-wira yang bantu cegah virus COVID-19.
Varun Dhawan hargai jasa wira-wira yang bantu cegah virus COVID-19.

28 Mac – Susulan kerajaan India telah melaksanakan Perintah Berkurung akibat wabak COVID-19, aktor Varun Dhawan tampil memberi semangat kepada orang ramai untuk sama-sama menempuh dugaan tersebut.

"Kita akan mengatasi masalah ini. Kita perlu percaya yang kita mampu. Semuanya akan baik-baik sahaja jadi teruslah jalankan tanggungjawab anda.

"Usah patah semangat. Kita semua akan berada dalam keadaan baik," ujarnya ringkas seperti yang dimuat naik menerusi laman Instagram.

Di kesempatan itu, Varun meminta agar semua pihak kekal berada di rumah serta kekal tabah dari segi fizikal, mental dan emosi sepanjang tempoh berkurung selama 21 hari bermula 25 Mac.

Pada masa yang sama, bintang filem "Street Dancer 3D" itu turut meminta orang ramai agar menjaga ahli keluarga masing-masing, terutama golongan tua dan ibu bapa.


"Semua orang yang seusia dengan saya tolong jaga keselamatan ibu bapa anda. Saya sangat menghargai jaga wira-wira yang terus berusaha melawan virus ini," tambahnya lagi.

Beralih ke perkembangan karier, baru-baru ini Varun telah selesai menjalani penggambaran filem komedi "Coolie No. 1" bersama aktres gandingannya Sara Ali Khan.

Filem itu diarahkan oleh bapanya David Dhawan, dan bakal menemui penonton di pawagam bermula 1 Mei 2020.

(Sumber foto: Varun Dhawan Instagram)

Cinema Online, 28 Mac 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes