Buletin

Niezam Zaidi: Kalau tak berpegang pada agama, saya dah 'hanyut'

Penulis: Nisa Irina

Niezam Zaidi galas watak sebagai Remy dalam "M4M4".
Niezam Zaidi galas watak sebagai Remy dalam "M4M4".

11 Feb – Menggalas tanggungjawab untuk membawa watak antagonis dalam filem thriller seram "M4M4", pelakon Niezam Zaidi mengakui ia memberi impak besar kepada dirinya sehingga hampir terbawa-bawa dalam kehidupan sebenar.

Menerusi filem itu, Niezam atau nama sebenarnya Mohd Niezam Mohd Zaidi, menggalas watak sebagai Remy, seorang samseng dan penagih dadah yang sering membuat kacau bersama dua rakannya, Apai dan Luk.

"Sepanjang tempoh penggambaran saya jarang keluar rumah dan bila saya keluar, ada kanak-kanak yang takut. Pada awalnya saya pelik juga sebab saya sukakan kanak-kanak, tetapi kemudian baru saya sedar penampilan saya dah berbeza.

"Secara tak langsung, ia memberi impak juga pada diri sendiri. Ada sampai satu tahap saya rasa 'hanyut' dengan watak Remy. Seminggu selepas penggambaran, saya langsung tak keluar rumah untuk ambil masa buang watak ini dari diri saya.


"Untuk menghayati watak ini memang sangat sakit. Jujur cakap kalau tidak berpegang pada agama, saya akan terus terbawa-bawa dengan watak ini," katanya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "M4M4" di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Menurut Niezam, dia berasa puas hati kerana diberi kebebasan oleh pengarah Eyra Rahman untuk memperbaiki dan mencipta sendiri watak itu tetapi masih mengikut konteks yang sama.

Selain itu, dia turut melakukan beberapa persiapan seperti menonton filem-filem Hollywood dan menjadikan lakonan penyanyi rap Kid Cudi dan Jack Nicholson sebagai rujukan serta menurunkan badan sebanyak 5 kilogram.

"Saya jenis yang tak suka merancang. Sebelum mula penggambaran saya akan kaji watak ini dalam-dalam dan terokai kebolehan saya untuk menjayakannya secara spontan. Alhamdulillah, Kak Eyra dapat menerima watak ini dengan baik," tambahnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Niezam berharap dia dapat membantu anak-anak muda yang terlibat dengan masalah sosial di kampung halamannya di Ipoh, Perak, menerusi video-video pendek berbentuk khidmat pesanan masyarakat yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

"Sebagai insan yang pernah berada dalam situasi sama, saya harap video dirakam dapat memberi motivasi kepada anak muda untuk kembali ke pangkal jalan. Kalau tak sentuh 100 orang, dapat 10 pun memadai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Niezam kini dilihat berlakon dalam drama bersiri TV3 "Cindai" yang turut menampilkan Ayda Jebat dan Syazuwan Hassan sebagai peneraju utama, bersama Nazim Othman, Fatin Afeefa, Raysha Rizrose, Catriona Ross dan ramai lagi.

Susulan filem "M4M4", Niezam juga akan kembali ke layar perak dengan dua buah filem aksi terbaru iaitu "Remp-It 2" arahan Datuk Farid Kamil dan filem "Perajurit" terbitan Zana Entertainment.

Cinema Online, 11 Februari 2020


Related Movies:
M4M4 (Malay) (06 Feb 2020)
Sangkar (Malay) (29 Aug 2019)

Jwplayer article page COSG
Showtimes