Buletin

Zaira Wasim kembali aktif di media sosial

Penulis: Nisa Irina

Zaira Wasim akui kecaman orang ramai baru-baru ini telah mengganggu fikirannya.
Zaira Wasim akui kecaman orang ramai baru-baru ini telah mengganggu fikirannya.

2 Jun – Jika sudah bergelar selebriti pasti seseorang itu tidak dapat lari daripada terpalit dengan kontroversi, termasuk dengan bekas aktres Bollywood Zaira Wasim.

Difahamkan baru-baru ini Zaira telah menutup akaun Twitter dan Instagram miliknya selama beberapa hari setelah menerima pelbagai kecaman orang ramai menerusi platform digital tersebut.


Semuanya gara-gara Zaira memuat naik sebuah entri keagamaan yang berkait dengan isu penduduk negara India yang diserang belalang, di mana ia merupakan serangan terburuk dalam tempoh 27 tahun.

Sehubungan dengan itu, gadis berusia 19 tahun berkenaan tampil memberi penjelasan terhadap soalan yang diajukan oleh seorang pengguna Twitter tentang mengapa dia bertindak sedemikian.

"Kerana saya hanya manusia biasa, sama seperti orang lain, yang boleh berehat daripada apa sahaja yang mengganggu fikiran saya atau di sekeliling saya apabila sampai hadnya," tulisnya di Twitter.

Seperti yang dilihat menerusi laman Twitter dan Instagram, Zaira sentiasa memenuhi ruangan entrinya dengan kata-kata positif, berinformasi keagamaan, serta ayat-ayat suci Al-Quran.

Malah para peminat turut menyokongnya dengan kata-kata semangat serta menjelaskan apa yang dikongsi oleh Zaira sebelum ini adalah benar dan bukan berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

Terdahulu, Zaira telah menimbulkan kontroversi apabila dia membuat keputusan untuk undur diri dari dunia lakonan kerana merasakan karier sebagai aktres Bollywood membawa dirinya jauh dari agama Islam.

Kali terakhir dia dilihat berlakon adalah menerusi filem "The Sky Is Pink" yang ditayangkan tahun lalu bersama Priyanka Chopra Jonas, Farhan Akhtar dan Rohit Suresh Saraf.

(Sumber: Zaira Wasim Twitter)
(Sumber foto: Economic Times)

Cinema Online, 2 Jun 2020


Showtimes