Buletin

Zara Zya tolak tawaran berlakon selepas bertudung

Penulis: Ashraf Nasser

Zara Zya kini menjual pakaian lamanya untuk digantikan dengan pakaian baru yang sesuai dengan imej barunya.
Zara Zya kini menjual pakaian lamanya untuk digantikan dengan pakaian baru
yang sesuai dengan imej barunya.

29 Sep – Pelakon dan penyanyi popular Zara Zya mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana watak yang ditawarkan tidak sesuai lagi dengan imejnya yang kini sudah bertudung sepenuhnya.

Malah, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata dia tidak langsung gentar sekiranya penghijrahannya akan menyebabkan dia kurang mendapat tawaran berlakon selepas ini.

"Saya tak terfikir soal ada tawaran kerja atau sebaliknya. Saya percaya pada rezeki yang tertulis," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Niat untuk bertudung sudah lama dipendam dan akhirnya dia nekad untuk menukar imejnya baru-baru ini kerana enggan lagi melengah-lengahkan melakukan perkara wajib.


"Secara jujur, saya masih dalam proses membiasakan diri dalam penghijrahan ini. Saya mengharapkan doa yang baik-baik. Semuanya berlaku atas gerakan hati. Keputusan ini tidak perlu dilengahkan. Saya juga tak mahu hati berbolak balik dalam melakukan tuntutan wajib ini."

Berikutan itu, Zara kini sedang giat menjual pakaian lama miliknya di laman sosial Instagram miliknya keran mahu menggantikannya dengan pakaian baru yang sesuai dengan imej barunya.

Dalam perkembangan lain, Zara baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama terbarunya berjudul "Beri Sedikit Waktu" yang akan disiarkan di kaca televisyen tidak lama lagi.

(Sumber foto: Zara Zya Instagram)

Cinema Online, 29 September 2020


Showtimes