Buletin

Bhagyashree kongsi persamaan antara Salman Khan dan Prabhas

Penulis: Nisa Irina

 Bhagyashree akui selesa bekerja dengan Salman Khan dan Prabhas.
Bhagyashree akui selesa bekerja dengan Salman Khan dan Prabhas.

8 Jan – Aktres Bollywood Bhagyashree bakal muncul dalam filem romantik terbaru "Radhe Shyam" arahan Radha Krishna Kumar, di mana dia akan berkongsi skrin dengan aktor terkenal Prabhas dan Pooja Hegde.

Berkongsi pengalamannya, Bhagyashree memberitahu dia tidak berdepan sebarang masalah untuk bekerjasama dengan rakan-rakan pelakonnya sepanjang terlibat dengan penggambaran filem itu.

Malah, Bhagyashree turut mengakui dia selesa bekerja dengan Prabhas serta menyifatkan aktor itu sebagai seorang rakan pelakon yang budiman dan merendah diri.

Mengimbas kembali debutnya dalam dunia Bollywood, aktres berusia 51 tahun itu berpeluang untuk berganding dengan bintang terkemuka Salman Khan menerusi filem pertamanya, "Maine Pyar Kiya".

Memetik laporan dari DNA India, memandangkan Bhagyashree pernah digandingkan dengan dua aktor hebat itu, dia sempat berkongsikan persamaan di antara Salman dan Prabhas.

"Mereka berdua percaya akan kemampuan diri masing-masing dan perkara itulah yang mendorong mereka untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahukan," katanya.

Terdahulu, Bhagyashree mendedahkan Salman telah menolak untuk menciumnya dalam satu sesi bergambar filem itu, membuatkan dia berasa selesa bekerja dengan aktor tersebut.

Beralih kembali ke "Radhe Shyam", para peminat kini teruja menantikan 'teaser' filem itu selepas Radha Krishna Kumar melancarkan poster filemnya baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Bhagyashree juga akan tampil dalam filem biopik J. Jayalalithaa, "Thalaivi", yang dibintangi aktres Kangana Ranaut sebagai watak utama.

(Sumber foto: IMDb, Film Daily & Eastern Eye)

Cinema Online, 8 Januari 2021


Showtimes