Buletin

Priyanka Chopra nafi ingkar Perintah Berkurung di London

Penulis: Nisa Irina

Priyanka Chopra terlibat dengan penggambaran filem baru "Text For You" di London
Priyanka Chopra terlibat dengan penggambaran filem baru "Text For You" di London

9 Jan – Bintang Bollywood terkenal Priyanka Chopra menolak dakwaan bahawa dia telah melanggar Perintah Berkurung yang dilaksanakan di London ketika mengunjungi salon milik penata rias selebriti Josh Wood.

Isteri kepada penyanyi Hollywood Nick Jonas itu dilihat mengunjungi salon berkenaan bersama ibunya, Dr. Madhu Chopra pada petang Rabu untuk mewarnakan rambut.

Sehubungan dengan itu, wakil kepada Priyanka telah mengeluarkan sebuah kenyataan bagi menjelaskan perkara sebenar, di mana tiada sebarang penalti dikeluarkan oleh pihak polis.

"Mengikut garis panduan kerajaan, rambut Priyanka diwarnakan bagi tujuan penggambaran filem "Text For You" yang kini berlangsung di London.


"Salon itu telah dibuka khas untuk kumpulan produksi dan semua pihak yang terlibat telah menjalani ujian saringan serta mematuhi garis panduan Digital, Culture, Media and Sport (DCMS) dan peraturan produksi filem.

"Seperti sedia maklum, produksi filem dan TV dibenarkan untuk beroperasi di United Kingdom, dan lokasi-lokasi dibuka untuk tujuan penggambaran dan peninjauan yang dijalankan mengikut garis panduan kerajaan," katanya yang dipetik dari India Today.

Tambah wakilnya lagi, mereka turut mendapatkan kebenaran secara sah daripada pihak polis bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

"Text For You" adalah filem romantik arahan Jim Strouse yang menggandingkan Priyanka dengan aktor "Outlander", Sam Hueghan sebagai pasangan kekasih.

Selain Priyanka dan Sam, ia turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Celine Dion, Russell Tovey, Steve Oram, Omid Djalili dan Sofia Barclay.

Dalam perkembangan lain, Priyanka bakal tampil dengan beberapa filem baru yang lain iaitu "The White Tiger", di mana dia turut bertindak sebagai penerbit, "The Matrix 4" dan sekuel "We Can Be Heroes".

(Sumber foto: Priyanka Chopra Instagram)

Cinema Online, 9 Januari 2021



Pautan Berkaitan:
Showtimes