7 Jan – Tahun 2020 merupakan tahun yang amat sukar dan menguji bagi aktres Bollywood Rhea Chakraborty selepas kematian aktor Sushant Singh Rajput yang juga teman lelakinya. Bukan sahaja dia terpaksa naik turun mahkamah, terlibat dengan soal siasat Biro Kawalan Narkotik (NCB) dan dipenjarakan kerana dituduh sebagai punca kematian Sushant, malah dia turut berdepan buli siber. Sehubungan dengan itu, pengarah Rumi Jaffery berharap agar tahun 2021 memberi semangat kepada Rhea untuk bangkit semula dan meninggalkan segala kenangan pahit yang berlaku tahun lalu. Malah Rumi turut berharap dapat menayangkan filem arahannya, "Chehre" di pawagam tahun ini setelah beberapa kali ditangguh akibat pandemik COVID-19. Filem thriller misteri itu menampilkan bintang veteran Amitabh Bachchan dan Emraan Hashmi sebagai peneraju utama, disusuli dengan Rhea, Krystle D'Souza, Siddhanth Kapoor dan Annu Kapoor.