Rencana

5 Selebriti Bollywood yang pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar

Penulis: Nisa Irina

Siapa sangka bintang-bintang terkenal ini pernah menjadi guru?
Siapa sangka bintang-bintang terkenal ini pernah menjadi guru?

Guru merupakan individu penting dalam hidup seseorang! Bermula dengan ibu bapa kita yang tidak kenal erti penat lelah memberi didikan sejak kecil demi mencorak masa depan kita, sehinggalah para guru dan pensyarah mengambil alih dengan memberi didikan untuk menempuh hidup di dunia luar. Benar, tiada siapa yang memberi pengaruh besar dalam kehidupan kita selain insan yang bergelar guru.


Namun begitu, pernahkah anda terbayang jika selebriti-selebriti terkenal berkhidmat sebagai guru mahupun tenaga pengajar sebelum mereka menceburi industri hiburan? Siapa sangka bahawa mereka juga pernah meninggalkan impak besar dalam kehidupan orang lain suatu ketika dulu. Jadi kali ini, kami akan senaraikan lima selebriti Bollywood yang pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar dalam pelbagai subjek!

Akshay Kumar

'Khiladi of Bollywood' Akshay Kumar sememangnya sinonim dalam menjayakan filem-filem aksi Bollywood dengan kepakarannya melakukan aksi lagak ngeri atas usaha sendiri. Tahukah anda bahawa Akshay pernah menggalas jawatan sebagai seorang guru seni bela diri di Mumbai? Malah, aktor yang pernah mengikuti kelas Muay Thai di Bangkok itu juga pernah menyatakan hasratnya untuk menubuhkan sebuah sekolah seni bela diri sebelum menceburi bidang lakonan.

Buat makluman anda, Akshay sanggup berhenti sekolah demi mempelajari ilmu seni bela diri sewaktu usia kecil. Pada 2015, aktor filem "Sooryavanshi" itu telah mengadakan kelas latihan seni bela diri untuk golongan wanita secara percuma demi membantu mereka menguasai ilmu mempertahankan diri.

Anupam Kher

Bintang terkenal Anupam Kher bukan sahaja menubuhkan Anupam Kher's Actor Prepares – The School of Actor pada 2005 di Mumbai, tetapi juga berkhidmat sebagai salah seorang tenaga pengajar di sekolah lakonan berprestij tersebut. Ia merupakan penyelesaian sehenti buat orang ramai yang ingin mengasah bakat lakonan mereka serta menceburi industri lakonan dengan menyediakan bengkel dan program khas seperti Pembangunan Personaliti, Penulisan Skrip, Yoga, Tarian, Korporat dan seni persembahan lain.

Lebih menarik lagi, para pelajar juga berpeluang untuk berinteraksi dengan selebriti-selebriti India dan antarabangsa termasuk Robert De Niro, Ang Lee, Shekhar Kapur, Danny Boyle, Ranbir Kapoor, Om Puri, Preity Zinta, Imtiaz Ali, Russell Peters, Anil Kapoor, adik beradik The Wachowskis dan Jason Isaacs. Antara bintang Bollywood yang merupakan alumni sekolah tersebut ialah Deepika Padukone, Varun Dhawan, Hrithik Roshan, Preity Zinta, Abhishek Bachchan dan Kiara Advani.

Nandita Das

Biarpun cemerlang sebagai pelakon dalam filem-filem arahan Mrinal Sen, Shyam Benegal, Mani Ratnam dan ramai lagi, namun ia tidak menghalang pengarah filem "Firaaq", Nandita Das untuk menceburi bidang pendidikan sebagai seorang guru. Selain menyambung pengajiannya di peringkat ijazah kedoktoran bagi kursus Kerja Sosial, Nandita juga pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Lembah Rishi selama empat bulan selepas tamat graduasi.

Antara subjek yang diajarnya ialah Sejarah, Geografi, Bahasa Inggeris, Bahasa Hindi serta Seni Lukis dan Kraftangan. Malah, dia turut berkongsikan ilmu lakonan dan tarian tradisional kepada para pelajarnya. Menurut Nandita yang juga aktif sebagai seorang aktivis, berpeluang untuk menjadi seorang guru merupakan salah satu pengalaman paling berharga dalam hidupnya.

Kader Khan

Legenda Bollywood Kader Khan bukan sahaja pernah bergelar pelakon, pelawak, penulis skrip dan pengarah, tetapi juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Kejuruteraan M.H. Saboo Siddik di Byculla, Mumbai, bagi subjek kejuruteraan awam sebelum menceburi industri Bollywood. Selain itu, aktor filem "Daag" itu juga pernah mengajar subjek Bahasa Hindi di sebuah sekolah di Dubai. Buat makluman lanjut, graduan Kolej Ismail Yusuf itu juga merupakan pakar Matematik seperti yang dibanggakan oleh Amitabh Bachchan ketika bintang veteran itu memberi penghormatan terakhir pada Kader yang meninggal dunia pada 2018.

Chandrachur Singh

Bintang veteran Chandrachur Singh mula melangkah ke dunia Bollywood pada 1996 menerusi filem "Tere Mere Sapne" dan pernah membintangi pelbagai filem selepas itu. Namun begitu, kecederaan yang dialami sewaktu melakukan aktiviti luncur air memaksa dia berehat dari dunia lakonan selama beberapa tahun. Untuk rekod, sebelum selesa menceburi bidang lakonan, Chandrachur merupakan seorang guru muzik di sekolah lelaki berasrama penuh, The Doon School, di Dehradun, Uttarakhand.

Cinema Online, 13 September 2020


Showtimes