Rencana

10 Fakta yang anda perlu tahu tentang Priyanka Chopra

Penulis: Nisa Irina

Priyanka Chopra adalah selebriti versatil yang memegang pelbagai peranan penting dalam kariernya.
Priyanka Chopra adalah selebriti versatil yang memegang pelbagai peranan penting dalam kariernya.

Priyanka Chopra Jonas merupakan selebriti terkenal yang nama dan wajahnya sering menghiasi tajuk utama dan muka hadapan media. Filem-filem yang dibintangi oleh aktres berusia 37 tahun ini digemari oleh hampir seluruh pelusuk dunia. Malah sehingga kini Priyanka digelar 'Desi Girl' selepas menjayakan lagu itu menerusi filem "Dostana" (2008).

Selain berbakat besar dalam dunia lakonan yang terdiri daripada industri Hollywood dan Bollywood, Priyanka juga sering memberi inspirasi kepada orang ramai terutamanya golongan wanita, melalui peranannya sebagai seorang wanita bekerjaya, aktivis kemanusiaan dan duta UNICEF.

Mungkin anda tahu Priyanka kini sudah bergelar isteri kepada selebriti Hollywood Nick Jonas dan gaya fesyennya yang elegan apabila tampil di karpet merah. Namun banyak lagi trivia menarik yang anda mungkin tak tahu mengenai Priyanka, seperti perjalanan kariernya yang bermula daripada pertandingan ratu cantik Miss World dan bakat nyanyiannya.

Jadi kali ini kami ingin menyenaraikan fakta-fakta menarik tentang Priyanka Chopra supaya anda, terutama para peminat setia, mengenali idola anda dengan lebih mendalam!

Mempunyai rakan baik dari keluarga diraja

Mungkin ada yang tak tahu Priyanka sebenarnya berkawan rapat dengan bekas aktres yang juga Duchess of Sussex iaitu Meghan Markle. Persahabatan mereka terbukti apabila Priyanka dilihat menghadiri majlis perkahwinan diraja Meghan bersama Putera Harry pada 19 Mei 2018. Buat pengetahuan lanjut, Priyanka dan Meghan mula mengenali antara satu sama lain di sebuah majlis makan malam Elle Woman in Television pada 2016. Ketika itu Priyanka terlibat dengan siri televisyen "Quantico" sementara Meghan pula membintangi siri "Suits".

Menerima pendidikan di sekolah tentera

Mempunyai ibu bapa yang berpangkat Doktor dan memegang jawatan ahli fizik dalam tentera India, Priyanka pernah bersekolah tinggi di Maktab Tentera Awam di Bareilly, iaitu sekolah yang ditubuhkan khas untuk memberi pendidikan kepada anak-anak anggota tentera India. Malah, Priyanka juga perlu mengikut keluarganya berpindah randah dengan kerap ke beberapa bandar serata India, serta Iowa, Massachusetts dan New York di Amerika Syarikat. Kata Priyanka, perkara itu mengajar dirinya untuk lebih berdisiplin.

Dinobatkan sebagai ratu cantik Miss World 2000

Memiliki wajah yang jelita, Priyanka telah dinobatkan sebagai ratu cantik Miss World pada dua dekad lalu ketika usianya baru menjangkau 18 tahun. Segalanya bermula selepas ibu Priyanka menyertakan namanya dalam pertandingan Miss India Femina di luar pengetahuannya, dan tanpa disangka Priyanka telah memenangi pertandingan itu. Kemenangannya dalam pertandingan ratu cantik Miss World telah membuka pintu peluang buat Priyanka untuk menceburi dunia perfileman Bollywood.

Berbakat dalam bidang nyanyian

Selain mempunyai bakat dalam bidang lakonan yang melayakkannya memenangi pelbagai anugerah berprestij, Priyanka juga hebat dalam bidang menyanyi. Lagu pertama yang didendangkannya adalah "Ullathai Killathe" dalam filem Tamil "Thamizan", di mana bakatnya disedari oleh pengarah dan rakan aktornya Vijay. Antara lagu-lagu Hindi yang dilancarkan oleh Priyanka ialah "Chikni Chameli", "Dil Tu Hi Bataa" dan "Asalaam-e-Ishqum". Selain itu, Priyanka juga pernah melancarkan lagu Inggeris berjudul "Exotic" yang menampilkan penyanyi Rap terkenal Pitbull dan "In My City" bersama will.i.am.

Terima anugerah Padma Shri 2016

Empat tahun lalu, Priyanka telah melakar sejarah hidupnya apabila menerima anugerah penghargaan awam keempat tertinggi di India iaitu Padma Shri oleh Presiden Pranab Mukherjee. Menurut Priyanka, dianugerahkan penghargaan itu merupakan salah satu pencapaian besar dalam hidupnya. Pada waktu itu, Priyanka sedang menjalani penggambaran siri televisyen "Quantico" di Amerika Syarikat dan dia perlu menjelaskan apakah maksud Padma Shri kepada rakan-rakan aktornya di sana.

Kasut buatan khasnya dipamer di Muzium Salvatore Ferragamo

Priyanka mendapat penghormatan apabila dijemput mengunjungi ibu pejabat gedung fesyen dan muzium terkemuka Itali, Salvatore Ferragamo di Florence pada 2010. Kehadiran Priyanka disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif gedung fesyen itu sendiri iaitu Leonardo Ferragamo, yang kemudiannya membawa Priyanka melawat muzium tersebut. Priyanka adalah aktres Bollywood pertama yang kasutnya dibuat khas di muzium itu, di mana ia dipamerkan bersama kasut-kasut khas selebriti terkenal seperti Audrey Hepburn, Marilyn Monroe dan Madonna.

Tubuhkan syarikat produksi bersama ibunya

Priyanka dan ibunya Dr. Madhu Chopra merupakan pengasas Purple Pebble Pictures, iaitu syarikat produksi yang menerbitkan filem-filem berbajet kecil serta memperkenalkan bakat-bakat baru dalam industri perfileman seperti penulis, pelakon, pengarah dan juruteknik. Antara filem yang diterbitkan oleh Priyanka ialah "Ventilator", "Pahuna: The Little Visitors" dan "The Sky Is Pink". Selain filem, Priyanka turut menerbitkan siri web "If I could tell you just one thing" dan siri televisyen "It's My City" di bawah syarikat produksinya.

Simpan botol sos tabasco dalam beg tangan?

Bunyi macam pelik tetapi itulah hakikatnya! Priyanka seorang yang suka makan dan sejak menetap di Amerika Syarikat, burger keju merupakan makanan kegemarannya. Menerusi sebuah temubual video bersama majalah terkenal Vogue, Priyanka mendedahkan antara barangan yang disimpan dalam beg tangannya ialah cermin mata hitam, minyak wangi, dompet dan sos pedas Tabasco. Ujar Priyanka, sos itu adalah benda penting baginya yang perlu dibawa ke mana-mana.

Mengarang memoir sendiri

Berlakon sudah, menyanyi pun sudah! Untuk pengetahuan semua, Priyanka juga pernah menonjolkan bakat menulis menerusi memoir yang diterbitkannya berjudul "Unfinished". Diterbitkan oleh Random Penguin House India, buku itu mengumpulkan koleksi karangan, kisah dan pandangan peribadi Priyanka sepanjang hidupnya. Menurut Priyanka, dia bersedia untuk bersikap terbuka mengenai perjalanan hidup dan kariernya menerusi buku itu, dengan harapan untuk memberi inspirasi kepada orang ramai, terutamanya golongan wanita.

Jarak umur 10 tahun dengan Nick Jonas

Terdahulu dunia digemparkan dengan berita sensasi perkahwinan antara Priyanka dan penyanyi Hollywood Nick Jonas. Pasangan ini mula menjadi topik perbualan apabila sama-sama menghadiri acara Met Gala 2017. Perkahwinan pasangan dua sejoli ini dilangsungkan secara gilang gemilang di India, dengan dua buah majlis mengikut tradisi iaitu Kristian dan Hindu. Jarak umur 10 tahun bukanlah satu penghalang untuk Priyanka dan Nick meluahkan perasaan cinta mereka, malah rumah tangga mereka dilihat semakin bahagia.

Cinema Online, 7 Jun 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes