Rencana

Filem-filem yang mengangkat isu sensitif pedofilia

Penulis: Ashraf Nasser

Mohon sediakan tisu dan tahan amarah anda apabila menonton filem-filem ini.
Mohon sediakan tisu dan tahan amarah anda apabila menonton filem-filem ini.

Filem adalah satu bentuk medium hiburan untuk orang ramai yang ingin melupakan seketika tekanan hidup atau pun kerja kerana filem juga bertindak sebagai 'terapi' untuk minda anda.

Namun bukan semuanya filem dihasilkan fiksyen atau sains fiksyen sahaja, sebaliknya dalam dunia perfileman ini mempunyai pelbagai genre dan topik yang boleh diteroka oleh pembikin filem untuk diangkat ke layar perak.

Jika sebelum ini Cinema Online pernah menyiarkan artikel berkaitan filem 'gore & disturbing', kali ini penulis ingin berkongsi dengan pembaca semua mengenai filem-filem yang memaparkan isu yang sangat sensitif iaitu mengenai pedofilia.


Isu ini sangat sensitif di seluruh dunia dan sebagai bukti pada bulan September lalu, platform penstriman video popular Netflix mendapat kecaman hebat daripada pelanggannya di seluruh dunia apabila mahu menayangkan filem Perancis berjudul "Cuties" yang memaparkan normalisasi seks kanak-kanak dan pedofilia.

Malah satu kempen #CancelNetflix juga menjadi trending di Amerika dan global selepas tayangan perdananya.

Jadi kali ini penulis ingin senarai filem-filem yang mengangkat isu pedofilia ini yang mana ada di antara filem ini diangkat dari kisah benar yang pernah menggemparkan dunia pada satu ketika dahulu.

"Hope" (2013)

Kita mulakan dengan filem berjudul "Hope" yang diriliskan pada tahun 2013. Filem ini sangat menyayat hati kerana ia diangkat dari kisah sebenar yang berlaku pada tahun 2008 apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun telah diculik, dirogol dan dibelasah separuh mati oleh seorang lelaki berusia 57 tahun. Filem arahan Lee Joo-ik dan dibintangi oleh Sol Kyung-gu, Uhm Ji-won dan Lee Re sebagai peneraju ini memaparkan kehidupan keluarga kecil itu selepas tragedi hitam berlaku.

Ternyata naskhah ini telah berjaya menambat hati penonton sehingga ia berjaya memenangi Filem Terbaik di Anugerah Blue Dragon Film selain banyak lagi anugerah dan pengiktirafan. Untuk pengetahuan anda, perogol bersifat binatang itu hanya dipenjara selama 12 tahun atas jenayah kejamnya itu dan akan dibebaskan pada Disember 2020. Seram bukan!

"Silenced" (2011)

Sebuah lagi naskhah daripada negara Korea Selatan iaitu "Silenced" yang diadaptasi dari novel "The Crucible" berdasarkan kisah sebenar yang pernah menggemparkan negara itu pada tahun 2005 membabitkan salah laku guru-guru di Sekolah Gwangju Inhwa yang merupakan sekolah untuk pelajar yang mempunyai masalah pekak dan bisu yang mana mereka melakukan serangan seksual terhadap pelajar di situ.

Diarahkan oleh Hwang Dong-hyuk dan dibintangi oleh Gong Yoo dan Jung Yu-mi sebagai peneraju, filem ini berkisarkan mengenai seorang guru bernama Kang In-ho diterima masuk untuk mengajar di sekolah itu. Bagaimanapun dia berasa pelik apabila pelajar-pelajarnya cuba menjauhkan diri daripadanya. Usahanya untuk mendekati mereka akhirnya berjaya dan ia telah membongkar rahsia gelap sekolah itu apabila pelajar-pelajar itu mendedahkan mereka sering menjadi mangsa serangan seksual oleh guru-guru di situ. Kang cuba membongkar jenayah jijik itu kepada pihak berkuasa namun dia berdepan pelbagai cabaran dan halangan. Nak tahu kesudahan filem ini? Anda perlu tonton sendiri.

Selepas tayangan filem "Silenced" ini, perasaan marah rakyat Korea membuak-buak dan mereka telah mendesak pihak berkuasa untuk membuka semula siasatan terhadap insiden ini. Perkara ini akhirnya mendapat perhatian Parlimen dan Rang Undang-Undang Dogani telah diwujudkan pada Oktober 2011 bagi menghapuskan undang-undang had jenayah seks terhadap bawah umur dan orang kurang upaya.

"Deliver Us from Evil" (2006)

Orang agama sepatutnya menjadi guru atau mentor yang akan membimbing orang ramai untuk menyebarkan kebaikan kepada seluruh umat manusia tanpa perlu mengira agama atau bangsa. Namun tidak semua yang benar-benar berhati mulia, sebaliknya ada yang menggunakan agama untuk menjalankan kerja terkutuk mereka dan ia telah didedahkan menerusi filem dokumentari yang memaparkan sikap syaitan seorang paderi katolik Irish bernama Oliver O'Grady dari lewat 1970an hingga awal 1990an.

Diarahkan oleh Amy J. Berg, filem dokumentari ini memaparkan kisah ketika paderi Oliver di California Utara di mana dia melakukan jenayah seksualnya terhadap kanak-kanak. Bagaimanapun apabila ditangkap dan didakwa, paderi bertopengkan syaitan ini hanya dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun sahaja sebelum ia dihantar pulang ke negaranya di Ireland.

Menerusi dokumentari ini menyaksikan pengarah menemubual paderi itu pada tahun 2005 termasuk memaparkan dokumen perbicaraan, pita rakaman dan temubual bersama aktivis, peguam, ahli psikologi dan ramai lagi. Ia turut mencadangkan bahawa pihak Gereja sedar akan jenayah yang dilakukan oleh Oliver, tetapi menyembunyikan perkara itu demi melindungi paderi itu dan gereja.

"The Boys of St. Vincent" (1992)

Walaupun "The Boys of St. Vincent" bukanlah filem tetapi sebuah mini siri televisyen pada tahun 1992, namun penulis merasakan naskhah ini perlu berada dalam senarai ini kerana ia sebuah lagi naskhah yang diangkat dari kisah sebenar yang berlaku di Rumah Anak-Anak Yatim Mount Cashel di St. John's, Newfoundland yang memaparkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak oleh Gereja Roman Katolik.

Mini siri arahan John N. Smith ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama "The Boy of St. Vincent" ia memaparkan penderaan seksual dan fizikal terhadap anak-anak yatim oleh Brother yang diketuai oleh Brother Peter Lavin dan bagaimana perkara itu ditutup daripada pengetahuan ramai. Manakala yang kedua "The Boys of St. Vincent: 15 Years Later" memaparkan mengenai perbicaraan Brothers dan bagaimana mangsa-mangsa menjalani kehidupan mereka selepas 15 tahun.

"Spotlight" (2015)

Jika keempat-empat filem di atas berkisarkan mengenai pemangsa dan mangsa, namun untuk filem biografi drama "Spotlight" ini pula berbeza sedikit apabila ia menceritakan mengenai pasukan Spotlight iaitu sepasukan wartawan penyiasat di Amerika Syarikat menyiasat kes penderaan seksual kanak-kanak di Boston oleh beberapa paderi Roman Katolik.

Filem arahan Tom McCarthy ini dibintangi oleh barisan pelakon terkenal Hollywood seperti Mark Ruffalo, Michael Keaton, Rachel McAdams, John Slattery dan ramai lagi. Siasatan pasukan wartawan itu telah membongkar jenayah seksual lebih ramai paderi di Massachusetts dan cubaan untuk menutup kes Boston Archiocese.

Menerusi filem ini juga penonton pasti akan terkejut apabila mendengar sendiri pengakuan bekas paderi Richard Sipe yang pernah cuba untuk memulihkan paderi pedofilia ini yang mana dikatakan terdapat lebih kurang 90 paderi pedofilia di Boston. Jadi bagi anda yang ingin tahu pengakhiran filem ini, anda perlulah tonton sendiri dan nilaikan apa yang dipaparkan dalam filem ini.

Cinema Online, 22 November 2020


Showtimes