Rencana

Filem seram berdasarkan lokasi 'keras' sebenar

Penulis: Ashraf Nasser

Filem seram manakah yang anda paling suka dalam senarai ini?
Filem seram manakah yang anda paling suka dalam senarai ini?

Filem seram merupakan filem paling popular di seluruh dunia kerana ia mempunyai keunikan tersendiri dan sentiasa mendapat tempat di hati penonton, oleh itu tidak hairanlah penerbit dan pengarah terus menghasilkan naskhah bergenre ini.

Di Malaysia sendiri, kita mempunyai pelbagai kepercayaan atau 'taboo' berikutan kepelbagaian bangsa dan budaya di negara ini, terutamanya apabila bercakap mengenai perkara mistik yang mana ia menjadi bualan sejak dari dahulu lagi.


Walaupun kita sudah pun memasuki tahun 2020, namun sehingga kini masih ramai lagi mempercayai kewujudan hantu ini termasuklah orang Malaysia sendiri.

Jadi, tidak hairanlah apabila masih ada lagi penerbit-penerbit filem yang terus menghasilkan filem seram seperti pontianak, orang minyak, toyol, langsuir, saka dan banyak lagi.

Bagaimanapun untuk artikel kali ini, Cinema Online bukan mahu menceritakan mengenai 'watak' hantu, tetapi menceritakan lokasi-lokasi 'keras' yang menjadi pilihan penerbit untuk dijadikan filem seram.

"Mimaland" (2020)

Sebenarnya masih ramai lagi yang tidak tahu mengenai kewujudan taman tema terkenal Mimaland yang mula beroperasi pada 1971 dan merupakan yang terbesar di Asia Tenggara ketika itu yang terletak di Gombak, Selangor. Bagaimanapun detik hitam taman tema itu mula berlaku pada tahun 1993 apabila seorang pengunjung meninggal dunia. Tidak sampai setahun dari insiden itu, berlaku lagi tragedi tanah runtuh pada 1994 yang mana operasi taman tema itu terus ditutup sehingga kini.

Setelah sekian lama ditutup, kawasan itu mula menjadi perhatian peneroka bebas dan segelintir pencari paranormal yang memasuki taman tema itu bagi melihat sendiri keadaan di situ. Ada yang tidak menjumpai apa-apa dan ada juga yang berdepan situasi cemas apabila diganggu makhluk halus. Bagaimanapun sehingga kini, kesemua cerita 'seram' itu masih lagi belum dapat dibuktikan.

Cerita unik ini telah mendapat perhatian seorang pengarah filem iaitu Nevin Hiong yang telah menghasikan sebuah filem seram berjudul "Miimaland" yang akan menemui penonton pada awal bulan Jun ini. Filem ini akan berkisarkan mengenai watak utama yang cuba menyiasat misteri taman tema itu. Ia dibintangi barisan pelakon popular seperti Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Camelia Natasya, Alzeeq, Zalif Sidek dan ramai lagi. Jadi, bagi peminat filem seram seperti ini, jangan ketinggalan untuk menonton apabila ia mula ditayangkan.

"Highland Tower" (2013)

Walaupun peristiwa hitam ini sudah berpuluh tahun berlaku, namun ia masih lagi menjadi sebutan orang ramai. Lebih menarik lagi golongan pemuda yang belum lahir ketika kejadian itu berlaku turut mengetahui mengenai insiden itu, dan lokasi Highland Tower merupakan lokasi popular kepada golongan pemuda yang mahu meneroka bangunan runtuh itu.

Populariti peristiwa hitam Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang pada 1993 itu menarik perhatian pembikin filem terkenal ketika itu iaitu Pierre Andre yang tampil mengarah filem "Highland Tower". Filem itu berkisarkan mengenai pengembaraan seorang pengacara program televisyen bernama Shima. Dia mahu menghasilkan sebuah dokumentari mengenai paranormal dan memilih lokasi Highland Tower sebagai lokasi.

Ketika penggambaran sedang berlangsung pada waktu malam, Shima mula terakam objek misteri menerusi lensa kamerannya yang mana ia kemudian menjadi permulaan berlakunya pelbagai kejadian aneh. Jika Pierre sebelum ini sering mengarah dan berlakon sama, tetapi kali ini dia tidak berlakon sebaliknya mempertaruhkan barisan pelakon baru iaitu adiknya sendiri Mikail Andre, Shima Anuar dan Adibah Yunus. Walaupun pada mulanya ramai yang menjangkakan filem ini tidak akan berjaya, tetapi sebaliknya berlaku apabila sambutan yang diterima sangat memberasangkan.

"Karak" (2011)

Ya, semua orang tahu mengenai kisah-kisah menyeramkan membabitkan lebuhraya Karak sejak puluhan tahun lalu dan sehingga kini cerita itu masih lagi diceritakan kepada orang ramai. Ini kerana lebuhraya sejauh 60 kilometer yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bandar Karak di Pahang itu bertukar menjadi kawasan yang menakutkan apabila waktu malam. Walaupun sudah lama orang bercerita mengenai misteri lebuhraya Karak, namun pada tahun 2011 barulah ada penerbit yang ambil keputusan untuk buat filem mengenai lebuhraya itu.

Menggunakan Karak sebagai judul filem, filem terbitan KRU Films ini berkisarkan mengenai sekumpulan pelajar kolej yang dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghabiskan malam di Kuala Lumpur. Ketika dalam perjalanan mereka terperangkap dalam kesesakan dan telah memilih untuk memintas kesesakan dengan menggunakan jalan lama tanpa mengetahui apa yang mereka bakal lalui. Diarahkan oleh Yusry Abd Halim, filem ini dibintangi oleh Shera Ayob, Kilafairy, Shahir Zawawi, Along Eyzendy dan ramai lagi.

"Villa Nabila" (2015)

Pada mulanya tidak ramai yang mengetahui mengenai misteri sebuah kediaman mewah kosong yang dikenali sebagai Villa Nabila ini sehinggalah pada tahun 2013 apabila sebuah budak dilaporkan telah hilang selepas memasuki kediaman itu. Bagaimanapun budak itu telah ditemui di kawasan rumah itu selepas beberapa kehilangannya, dan ini menimbulkan persoalan orang ramai apabila budak itu tidak langsung ingat apa yang berlaku pada dirinya. Kejadian itu nyata menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia yang sememangnya rata-rata mempercayai mengenai kewujudan makhlus halus.

Kejadian itu kemudian telah menarik perhatian pengarah muda berbakat besar iaitu Syafiq Yusof untuk tampil menghasilkan sebuah filem mengenai kediaman berhantu itu. Bagaimanapun Syafiq tidak membuat jalan ceritanya sendiri atau fiksyen, sebaliknya jalan cerita yang ditampilkan adalah berdasarkan kisah-kisah seram yang berlaku di rumah itu yang diceritakan oleh mangsa-mangsa.

Percaturan yang dilakukan Syafiq nyata tepat apabila filem yang dibintangi oleh Pekin Ibrahim dan Tisha Shamsir ini berjaya mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton. Tidak dapat dinafikan Syafiq bijak mengambil kesempatan di atas kejadian yang berlaku dan ambil keputusan untuk hasilkan filem dokumentari ini untuk menceritakan lagi kejadian-kejadian yang pernah berlaku di kediaman itu.

"Jalan Puncak Alam" (2015)

Sebelum jalan di Puncak Alam membangun, jalan tersebut sangat sunyi dan dikatakan sangat keras sekiranya kenderaan melalui pada waktu malam. Ketika ini, tidak ramai yang berani untuk menggunakan jalan tersebut seorang diri kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku. Ketika itu, jalan tersebut sangat sunyi sepi dan dikelilingi hutan berikutan tiada pembangunan dibuat lagi.

Antara yang kerap menjadi mangsa gangguan ini adalah pelajar-pelajar di sebuah universiti yang terletak di Puncak Alam. Oleh itu, pada tahun 2015 pengarah muda Dharma Aizat ambil keputusan untuk menghasilkan sebuah filem seram yang diangkat dari kisah-kisah seram yang terjadi dan pengalaman mereka yang menggunakan jalan tersebut.

Dibintangi oleh Azwan Kombos, Epy Kodiang, Shah Rempit dan Niezam Zaidi, ia memaparkan beberapa orang yang menggunakan jalan tersebut pada malam itu berdepan kejadian aneh berbeza. Bagaimanapun, sambutan terhadap filem itu tidaklah memberangsangkan namun penulis merasakan ia perlu ada dalam senarai ini. Ketika ini Puncak Alam sudah pun maju dengan banyak bangunan-bangunan baru dibina, tetapi adakah jalan tersebut masih 'keras'? Mungkin masih 'keras' tetapi gangguan mungkin tidak sekerap dahulu.

Jadi, adakah anda sudah menonton kesemua filem-filem ini? Sekiranya belum, rasanya inilah waktunya anda meluangkan masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menonton filem-filem ini.

Cinema Online, 24 Mei 2020


Related Movies:
Jalan Puncak Alam (Malay) (15 May 2015)
Villa Nabila (Malay) (15 Jan 2015)
Showtimes