Rencana

5 Filem pecah panggung lakonan Akshay Kumar

Penulis: Nisa Irina

Selamat Hari Jadi yang ke-53 buat Akshay Kumar!
Selamat Hari Jadi yang ke-53 buat Akshay Kumar!

Akshay Kumar adalah salah satu nama besar dalam industri perfileman Bollywood. Tanpa Akshay, tiadalah filem-filem aksi mahupun genre lain yang mampu meraih kutipan pecah panggung. Biarpun sudah lebih dua dekad namanya kekal dalam industri, namun persembahan lakonan Akshay jarang menghampakan para peminat di seluruh dunia. Penglibatan Akshay dalam menjayakan lebih 100 buah filem melayakkan Akshay merangkul bukan satu, tapi dua trofi Aktor Terbaik Anugerah Filem Nasional.


Baru-baru ini, aktor dan penerbit versatil yang diberi gelaran 'Khiladi of Bollywood' ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-53 tahun! Ketika media sosial dibanjiri dengan ucapan istimewa buatnya, kami ingin menyingkap semula filem Akshay yang pernah meraih kutipan pecah panggung!

"Good Newwz"

Ternyata 2019 adalah tahun yang didominasi oleh filem-filem lakonan Akshay Kumar apabila filem "Good Newwz" berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Filem terbitan Karan Johar itu menggandingkan Akshay bersama Kareena Kapoor, Diljit Dosanjh dan Kiara Advani sebagai pelakon utama. Jalan cerita lucu dan menyentuh hati tentang proses bayi tabung uji atau IVF, berjaya memenangi hati para pengkritik filem. Malah lebih menarik lagi, Karan Johar turut tampilkan penyanyi Amerika, Lauv dalam salah satu lagu runut bunyi filem.

Setelah ditayangkan, "Good Newwz" meraih kutipan tinggi dalam tempoh tiga hari tayangan. Selain India, kutipan filem arahan Raj Mehta itu turut mencatat jumlah yang tinggi di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Fiji. Dengan kutipan sebanyak Rs 318.57 crore (RM187.8 juta), "Good Newwz" adalah filem keenam di senarai filem Bollywood pecah panggung 2019.

"Mission Mangal"

Impian Akshay untuk membintangi filem bertemakan angkasa lepas akhirnya tercapai apabila dipilih menerajui filem "Mission Mangal", yang mengisahkan misi mengorbit planet Marikh pertama di India. Pelancaran Misi Orbit Marikh (Mangalyaan) itu telah berjaya dilakukan oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) selepas Roscosmos, NASA dan Agensi Angkasa Lepas Eropah.

Selain Akshay, barisan pelakon yang terbabit dalam filem itu ialah Vidya Balan, Sonakshi Sinha, Taapsee Pannu, Nithya Menon, Kirti Kulhari dan Sharman Joshi. Ternyata garapan pengarah Jagan Shakti berjaya menjadikan "Mission Mangal" sebuah filem komersial yang dipuji pengkritik filem dan para penonton seluruh dunia bermula hari pertama tayangan. Jumlah kutipan terakhir yang dicatatkan untuk filem itu adalah sebanyak RS 290.59 crore (RM171.1 juta), sekaligus menjadi filem ketujuh dalam senarai filem Bollywood pecah panggung 2019.

"Housefull 4"

Francais filem komedi "Housefull" terbitan Sajid Nadiadwala merupakan salah satu francais paling berjaya yang pernah dibintangi Akshay. Malah filem keempat dari francais itu, "Housefull 4", berjaya disiapkan lebih awal daripada perancangan asal atas komitmen tinggi yang diberikan oleh Akshay. Penggambaran filem itu sepatutnya berlangsung selama 90 hari tetapi ia berjaya disiapkan dalam tempoh 65 hari sahaja.

"Housefull 4" dikhabarkan sebagai filem Bollywood paling mahal, kerana selain bertukar pengarah, ia juga menampilkan nama-nama besar Bollywood selain Akshay, iaitu Riteish Deshmukh, Bobby Deol, Kriti Sanon, Kriti Kharbanda, Pooja Hegde, Rana Daggubati, Amanda Rosario selain Boman Irani dan Nawazuddin Siddiqui. Filem itu berjaya menerima kutipan sebanyak Rs 280.27 crore (RM162.8 juta), sekaligus meletakkannya di tangga kelapan senarai filem Bollywood pecah panggung 2019.

"Kesari"

Sebagai aktor versatil, Akshay tidak kisah, malah berasa gembira untuk mengubah penampilannya bagi menjayakan watak Havaldar Ishar Singh dalam filem terbitan Karan Johar, "Kesari". Akshay digandingkan bersama Parineeti Chopra sebagai suami isteri. Filem itu berdasarkan Perang Saragarhi yang pasti membangkitkan semangat patriotik dalam jiwa penonton.

Ia ditayangkan bersempena festival Holi di India dan berjaya menerima sambutan baik pada minggu awal tayangan biarpun ketika musim perayaan. Jumlah kutipan yang terkumpul setelah ditayangkan di seluruh dunia, termasuk Jepun, adalah sebanyak Rs 207.09 crore (RM117.5 juta).

"2.0"

Akshay memberikan sepenuh dedikasi untuk filem sains fiksyen Tamil, "2.0", yang mana dia dilihat berkongsi skrin dengan bintang filem Selatan India, Rajinikanth. Biarpun memegang watak sebagai antagonis, Akshay masih mampu menambat hati para penonton dengan persembahan lakonannya yang luar biasa. Tambahan lagi dengan solekannya sebagai makhluk berupa burung yang jahat!

Filem yang ditayangkan dalam bentuk 3D itu menerima kritikan positif daripada orang ramai, terutama terhadap kesan visual, mesej sosial dan lakonan hebat Akshay dan Rajinikanth. Pada hari pertama tayangan sahaja kutipannya sudah mencecah Rs 117.34 crore (RM66.7 juta). Kutipan terakhir filem itu berjaya memecah rekod dengan jumlah sebanyak Rs 800 crore (RM454.2 juta).

Cinema Online, 16 September 2020


Related Movies:
Housefull 4 (Hindi) (25 Oct 2019)
Good Newwz (Hindi) (27 Dec 2019)
Mission Mangal (Hindi) (16 Aug 2019)
Showtimes