Rencana

5 Filem terbitan Malaysia bertajuk "Keluarga"

Penulis: Nisa Irina

Kebanyakan filem bertema atau bertajuk keluarga di Malaysia membawa genre komedi.
Kebanyakan filem bertema atau bertajuk keluarga di Malaysia membawa genre komedi.

Tidak kira di Malaysia atau di luar negara, filem yang mengangkat tema kekeluargaan merupakan salah satu daya tarikan orang ramai untuk menonton. Mungkin kerana jalan cerita yang ditampilkan banyak berkait rapat dan sebati dengan kehidupan harian seseorang penonton itu. Jika di Korea Selatan, filem bertemakan kekeluargaan sering membawa genre sedih dan menyayat hati sehingga membuatkan penonton mengalirkan air mata. Di Malaysia pula, pembikin filem lebih gemar membawa genre komedi kerana ia sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia.


Filem yang membawa tema kekeluargaan memang banyak, tetapi tahukah anda, menurut Filem Kita, filem yang bertajuk keluarga di Malaysia ada satu dalam setiap dekad, bermula pada sekitar tahun 1950an hingga 1980an, selepas itu tiada yang diterbitkan selama tiga dekad sebelum muncul semula tahun ini, iaitu "Keluarga Iskandar The Movie". Semuanya mengetengahkan genre komedi. Oleh itu, kali ini kami akan menyingkap semula filem-filem klasik bertajuk keluarga, termasuk "Keluarga Iskandar The Movie"!

"Keluarga Tolol" (1956)

Tidak ramai yang tahu tentang filem komedi klasik ini, yang mana ia berjaya mengangkat nama Ibrahim Pendek, Datuk Aziz Sattar dan S. Shamsuddin sebelum siri filem "Pendekar Bujang Lapok" diterbitkan lagi. Menurut sumber daripada warganet, difahamkan filem ini dianggap sebagai filem komedi pertama tempatan, memandangkan pada tahun-tahun sebelumnya, babak komedi hanyalah babak selingan untuk melengkapkan plot cerita.

Filem arahan S. Ramanathan ini turut menampilkan para pelakon lain seperti Normadiah dan Siti Tanjong. Perak. Butiran lanjut mengenai kandungan filem ini tidak dapat ditemui. Boleh dikatakan sesiapa yang memiliki klip filem ini agak bertuah kerana ia dikategorikan sebagai salah satu filem klasik 'rare'.

"Keluarga 69" (1967)

Filem klasik ini diarahkan dan dibintangi oleh tak lain dan tak bukan, seniman agung Tan Sri P. Ramlee, yang mana ia diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih. Biarpun ia membawa genre komedi, tetapi ia diselitkan juga dengan drama. Selain P. Ramlee, filem ini turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Siput Sarawak, Noran Nordin, A. R. Tompel, Salleh Ghani, Julie Faridah, Ed Osmera dan ramai lagi. Dalam filem ini, P. Ramlee mendendangkan tiga buah lagu iaitu "Entah Di Mana", "Mengapa Derita" dan "Semenjak Mata Bertentang".

Selari dengan judul filemnya, "Keluarga 69" mengisahkan sebuah keluarga yang tunggang terbalik. P. Ramlee membawa watak sebagai Osman, lelaki kaya yang tinggal bersama bapanya. Situasi kelam kabut berlaku apabila Osman mengahwini ibu kepada isteri bapanya, manakala orang gaji bapanya mengahwini ibu Osman, di mana orang gaji tersebut adalah bapa kepada isteri bapa Osman dan bekas suami kepada isteri Osman! Baca sinopsisnya sahaja bikin pusing kepala!

"Keluarga Si Comat" (1975)

Filem komedi hitam putih ini mengisahkan Comat, yang tinggal bersama bapanya, seorang pemilik bengkel kereta. Pada suatu hari, seorang pelanggan bernama Borhan bercadang untuk membawa Comat ke Kuala Lumpur kerana berminat untuk menjadikannya seorang penghibur. Bermulalah kehidupan baru Comat di ibu kota tersebut.

Padat dengan mesej dan pengajaran berguna, filem ini diarahkan oleh Datuk Aziz Sattar, yang turut berlakon sebagai watak utama. Selain Aziz Sattar, ia turut dibintangi Ibrahim Pendek, S. Shamsudin, Junainah M. Amin dan Deddy M. Borhan. Buat pengetahuan semua, Deddy M. Borhan juga bertindak sebagai penerbit dan "Keluarga Comat" adalah buah tangan pertama yang diterbitkan di bawah syarikat produksinya Sabah Film Productions.

"Keluarga 99" (1987)

Pekerjaannya sebagai seorang peguam yang sering mengendalikan kes-kes penceraian membuatkan Azam takut untuk berkahwin. Walau bagaimanapun, dia bersetuju untuk dijodohkan dengan seorang gadis kampung bernama Marlia seperti yang dicadangkan oleh kakak angkatnya. Apabila mengetahui sepupunya, Yusof, cuba memikat Marlia, Azam terus membawa Marlia ke Bangkok untuk berkahwin. Perancangan itu diketahui oleh Yusof yang akhirnya mengekori mereka.

Filem arahan A. R. Badul ini menggabungkan pelakon-pelakon seperti Salih Yaacob, Puteri Salbiah, Mr. Os, Maria Arshad dan Amran Tompel. Jika ada di antara anda yang rindukan lakonan Mr. Os, bolehlah menonton semula kisah cinta tiga segi yang mencuit hati ini. Pasti tak akan kering gusi!

"Keluarga Iskandar The Movie" (2020)

Berdasarkan siri televisyen komedi popular "Keluarga Iskandar", ia merupakan sebuah filem adaptasi yang menceritakan kehidupan seharian dan gelagat keluarga arwah Haji Iskandar yang terdiri daripada Mak Jah serta lima orang anaknya bersama keluarga masing-masing. Filem ini menampilkan barisan pelakon asal termasuk beberapa muka baru seperti Kismah Johar, Hilal Azman, Zain Hamid, Anita Baharom, Sobri Anuar, Heira Hassan, Azhar Sulaiman, Khaireesya Kemal, Raja Ema dan ramai lagi.

Pada asalnya, filem terbitan KL Motion Pictures ini dijadual untuk tayang di pawagam namun situasi pandemik COVID-19 yang tidak mengizinkan mengubah keputusan pengarah Wan Hasliza Wan Zainuddin untuk menayangkannya di stesen televisyen satelit Astro, saluran Astro First.

Cinema Online, 2 Ogos 2020


Showtimes