Rencana

Selebriti-selebriti Bollywood yang enggan lakonkan babak bercium

Penulis: Nisa Irina

Antara selebriti yang menolak untuk bercium dengan pelakon gandingan mereka dalam filem.
"Antara selebriti yang menolak untuk bercium dengan pelakon gandingan mereka dalam filem.

Selain mendominasi dunia di tangga kedua selepas industri Hollywood, industri perfileman Bollywood juga membuktikan bahawa filem-filem bergenre romantik boleh dijayakan tanpa memerlukan para pelakonnya melakonkan babak bercium mahupun intim.

Malah, bintang-bintang Bollywood ini juga yang sendiri menolak untuk melakonkannya atas alasan mereka tersendiri, sehingga ada yang menolak tawaran filem yang mempunyai babak-babak sebegitu kerana berpegang kepada prinsip mereka.


Contohnya, bintang terkenal Salman Khan yang sentiasa digandingkan dengan aktres-aktres jelita dalam filem-filemnya tetapi tidak akan sesekali melakonkan babak bercium kerana mengakui dia sendiri berasa tidak selesa.

Kali ini, kami ingin menyenaraikan selebriti-selebriti Bollywood terkenal yang menolak untuk melakonkan babak bercium dengan aktor atau aktres gandingan mereka di skrin lebar.

Aishwarya Rai & Ranbir Kapoor

Filem "Ae Dil Hai Mushkil" menyerlahkan keserasian Aishwarya Rai dan Ranbir Kapoor di skrin lebar dengan jayanya biarpun tiada satu babak pun yang memaparkan mereka bercium. Difahamkan Aishwarya tidak selesa untuk melakonkan babak itu seperti yang terkandung dalam skrip dan meminta pengarah Karan Johar membuangnya. Dedah satu sumber, Aishwarya merasakan ia lebih sesuai untuk dilakonkan oleh aktor yang lebih muda daripadanya memandangkan dia telah melakukannya pada awal kariernya.

Salman Khan & Bhagyashree

Semua orang tahu Salman Khan memegang prinsip untuk tidak melakonkan sebarang babak intim sepanjang kariernya. Ujar Salman, dia menitikberatkan perkara itu memandangkan filem-filemnya untuk tontonan sekeluarga. Tambahan lagi, kandungan sebegitu membuatkannya berasa tidak selesa. Aktres Bhagyashree yang pernah berkongsi skrin dengan Salman dalam filem "Maine Pyaar Kiya" mendedahkan, Salman telah menolak untuk menciumnya dalam satu sesi bergambar filem itu, membuatkan dia berasa selesa bekerja dengan aktor tersebut.

Fawad Khan & Alia Bhatt

Fawad Khan enggan melakonkan sebarang babak bercium ataupun intim di skrin lebar kerana dia percaya para peminatnya tidak akan menerima perkara itu dan menghormati perasaan mereka. Apabila dia dipilih untuk membintangi filem "Kapoor and Sons", Fawad sedia tahu skrip filem itu memerlukannya untuk melakonkan babak bercium dengan Alia Bhatt. Kata Alia dalam satu kenyataan, mereka akhirnya bersetuju untuk melakukan 'cheat-kiss'. Terdahulu, Fawad juga pernah menolak untuk bercium dengan Sonam Kapoor dalam filem "Khubsoorat".

Kareena Kapoor & Ajay Devgn

Biarpun sebelumnya Kareena Kapoor pernah melakonkan babak bercium dengan Akshay Kumar dan Hrithik Roshan, tetapi apa yang membuatkan pengarah Prakash Jha terkejut adalah apabila dia menolak untuk bercium dengan Ajay Devgn dalam filem "Satyagraha". Tidak hairanlah kerana pada ketika itu, Kareena baru sahaja berkahwin dengan Saif Ali Khan. Selain itu, Saif dan Ajay juga merupakan rakan baik jadi Kareena tidak selesa untuk berbuat demikian.

Priyanka Chopra & Annu Kapoor

Tindakan Priyanka Chopra menolak untuk bercium dengan Annu Kapoor dalam filem "Saath Khoon Maaf" menjadi perbualan hangat apabila alasannya adalah Priyanka merasakan jarak usia mereka terlalu jauh dan Annu adalah rakan baik bapanya. Walau bagaimanapun, Annu tidak menganggap ia sebagai isu besar dan sebagai aktor profesional, ia adalah tanggungjawabnya untuk menjayakan sesebuah filem itu walau dengan cara apa sekalipun.

John Abraham & Shruti Haasan

John Abraham boleh dilabel sebagai seorang suami penyayang kerana sejak berkahwin dengan Priya Runchal, dia membuat keputusan untuk tidak melakonkan sebarang adegan bercium atau intim dengan mana-mana aktres gandingannya kerana menghormati perasaan isterinya. Perkara itu tidak menjadi masalah buat pembikin filem "Welcome Back", di mana John digandingkan bersama Shruti Haasan. Untuk menggantikan babak itu, mereka akhirnya terfikirkan idea menarik iaitu memfilemkan sebuah lagu romantik dalam filem tersebut.

Sonakshi Sinha & Akshay Kumar

Sama seperti Salman Khan, Sonakshi Sinha juga mempunyai prinsip sendiri apabila bercakap tentang peranannya dalam filem, iaitu dia tidak akan melakonkan babak bercium ataupun berpakaian renang. Kata Sonakshi, sehingga kini dia akan menjelaskan prinsipnya kepada setiap pengarah yang bekerjasama dengannya dan menganggap ia bukan masalah besar. Malah jika pengarah masih ingin meneruskan babak itu, maka mereka boleh mencari aktres lain sebagai penggantinya. Sonakshi telah menolak babak bercium dengan Akshay Kumar dalam filem "Holiday".

Cinema Online, 5 Jun 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes