Rencana

Siri kartun tempatan popular era 90-an dan awal 2000

Penulis: Nisa Irina

Siri kartun manakah yang mengingatkan anda kembali ke zaman kanak-kanak?
Siri kartun manakah yang mengingatkan anda kembali ke zaman kanak-kanak?

Kanak-kanak dan kartun sememangnya tidak boleh dipisahkan. Jika diimbas kembali, antara aktiviti kanak-kanak yang sering dilakukan adalah menonton televisyen. Kalau tidak di waktu petang selepas pulang dari sekolah, pasti pada waktu pagi di hujung minggu.

Tambahan pula stesen televisyen sering menayangkan pelbagai genre kartun atau animasi. Kanak-kanak yang membesar pada zaman 90-an hingga awal 2000 pasti mengingati kartun-kartun tempatan yang boleh dikatakan terkenal pada ketika itu.


Malah ia bukan sahaja digemari oleh kanak-kanak, kartun-kartun ini turut mendapat tempat di hati golongan dewasa. Tidak hairanlah kerana ia bukan sahaja memberi hiburan, tetapi juga mesej dan nasihat berguna buat penonton.

Di kesempatan ini, Cinema Online akan menyenaraikan beberapa kartun tempatan popular era 90-an dan awal 2000. Mana tahu ia boleh menggamit semula nostalgia lama anda kan?

Keluang Man

Siapa sahaja yang tak kenal dengan watak Batman versi Malaysia ini? Keluang Man merupakan adiwira kebangsaan yang sentiasa membantu orang dalam kesusahan dan membanteras jenayah. Di sebalik topengnya adalah Borhan, seorang jaguh silat sebelum dia dimasukkan Hospital Bahagia Tampoi. Borhan mempunyai seorang rakan karib bernama Samad yang juga pembantu Keluang Man iaitu Tiong Man.

Siri animasinya telah mewarnai kaca televisyen bermula tahun 1996 hingga 1998 dengan tujuh musim yang terdiri daripada 142 buah episod. Diterbitkan oleh UAS Animation Studios (M) Sdn. Bhd., siri ini digarap oleh Kamn Ismail, yang juga merupakan pencipta watak Keluang Man.

Penulis yakin pembaca yang membesar dengan "Keluang Man" pasti menjadikan watak adiwira ini sebagai idola sehingga kini. Malah beberapa tahun lalu, terdapat syarikat produksi yang ingin menghasilkan filem 'live action' "Keluang Man", namun projek itu tergendala gara-gara pengarahnya menarik diri.

Anak-anak Sidek

Siri animasi ini diadaptasi dari komik autobiografi mengenai jaguh badminton negara karya Kumpulan Pelukis J.A.S Sdn. Bhd.. Buat pengetahuan pembaca, ia adalah komik biografi pertama yang diterbitkan selama 10 tahun. Melihat kejayaan komik ini, Misbun Sidek bersama adik beradiknya, kecuali Razif, akhirnya bertindak sebagai penerbit eksekutif dalam menjayakan siri animasi "Anak-anak Sidek".

Siri ini mempunya tiga musim dengan 39 buah episod yang ditayangkan menerusi saluran TV1 bermula 1999 hingga 2003. Jika pembaca masih ingat, watak terkenal dalam siri ini ialah Haji Sidek, Rukinah, Rusitah, Bun (Misbun), Alan (Jalani), Ajib (Razif), Aman (Rahman) dan Adul (Rashid). Watak sampingan yang bertindak sebagai pencerita ialah Gelanggang, Kerusi, Raket dan Shuttle.

Jika diingat kembali, masih segar dalam ingatan penulis dengan watak Haji Sidek yang garang dalam cuba mendidik anak-anaknya yang bersikap degil dan nakal. Buktinya, tidak pasal-pasal kena kurung dalam reban ayam satu malam. Betul-betul mencuit hati bukan?

Kacang

Masih terngiang-ngiang lagi lagu tema animasi 3D yang ikonik ini. Sambil menyanyi, boleh belajar nama jenis-jenis kacang juga. "Kacang" merupakan siri animasi yang diterbitkan pada 2004 di saluran RTM. Antara watak terkenal dalam siri animasi ini ialah Kacang Dal, Kacang Kuda, Kacang Soya, Kacang Merah, Kacang Gajus, dan Kacang Hijau.

Penulis yakin ramai pembaca yang meminati siri ini memandangkan watak-watak yang ditampilkan semuanya comel-comel belaka. Siri ini bukan sahaja lucu dan menghiburkan, malah ia turut diselitkan dengan pelbagai nasihat berguna yang boleh diambil sebagai pengajaran.

Frootees

Kalau di dapur ada kekacang, di dusun pula ada buah-buahan. Ingat lagi dengan kartun "Frootees" yang ditayangkan pada 1999 hingga 2000 menerusi RTM? Walaupun grafik kartun ini biasa-biasa sahaja, namun jalan ceritanya yang menarik adalah punca utama "Frootees" pernah menjadi kartun kegemaran ramai suatu masa dulu. Antara watak yang ada ialah manggis, rambutan, pisang dan limau. Watak nakal pula ialah si durian dan anak-anak buahnya iaitu pulasan.

Bola Kampung

Ini satu lagi animasi atau kartun yang lagu temanya 'berhantu'. "Bola Kampung" mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang tinggal di Kampung Gong Lechar, yang menggilai bola sepak, itupun hanya bermain kerana minat semata-mata. Ini berubah apabila pengetua sekolah mereka dan jurulatih bola sepak baru, Abdul Rahman, menubuhkan sebuah pasukan bola untuk bertanding di kejohanan antara sekolah.

"Bola Kampung" dihasilkan oleh Animasia Studios, mempunyai empat musim dan ditayangkan bermula 2006 hingga 2009. Apa yang hebatnya siri ini kalau pembaca nak tahu, ia telah berjaya mencapai pasaran antarabangsa apabila ia ditayangkan di saluran Disney Channel dengan judul "Football Kids" pada 2007. Bagi yang belum pernah menonton, penulis galakkan anda untuk tonton siri yang menyeronokkan ini!

Kampung Boy

Animasi lagenda karya kartunis Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat, iaitu "Kampung Boy" mula disiarkan pada tahun 1997. Buat pengetahuan pembaca, siri animasi yang diadaptasi dari komik ini sebenarnya menceritakan pengalaman kartunis yang membesar di Perak pada 1950-an. Kelainan yang dibawakan oleh "Kampung Boy" adalah kehidupan di luar bandar dan gaya hidup bandar moden.

Selain itu, animasi ini turut dihasilkan dalam Bahasa Inggeris bagi pemasaran antarabangsa. Ia mempunyai dua musim dengan 26 buah episod. Watak utamanya adalah sebuah keluarga yang terdiri daripada Mat, adiknya Ana, ibu bapa mereka, Yop dan Yah serta nenek mereka Opah. Mat juga mempunyai dua rakan baik iaitu Bo dan Tak.

Penulis juga sudah tertarik dengan siri ini sejak kali pertama menontonnya. Manakan tidak, lihat sahaja gelagat Mat dan rakan-rakannya yang ceria. Walaupun tinggal di kampung, namun ia tidak menghalang mereka untuk berseronok. Secara tak langsung, siri ini turut memperkenalkan permainan-permainan tradisional seperti congkak, guli, teng-teng dan tarik upih.

Usop Sontorian

Penulis dapat menjangka ramai pembaca mengenali "Usop Sontorian", kartun pertama yang ditayangkan di Malaysia pada 1996 hingga 1998 di saluran RTM dan mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records. Ia mengangkat kisah masyarakat di Kampung Parit Sonto, Johor. Sama seperti "Kampung Boy", siri ini juga mengetengahkan kisah budak-budak kampung dan dicipta oleh kartunis tempatan terkenal, Ujang.

Antara watak yang ditampilkan ialah Usop, Abu, Dol, Singh, Budin, Ah Kim dan Vellu. Kartun terbitan MOY Publication ini sebenarnya diadaptasi daripada majalah terkenal "Ujang" yang popular di Malaysia pada tahun 1990-an. Cerita ini banyak memberi imbauan semasa di kampung kepada para penonton.

Abang Sidi

Siri ini istimewa sedikit, kalau ada pembaca yang ingat, "Abang Sidi" ditayangkan ketika bulan Ramadan di saluran RTM. Ia merupakan terbitan Fine Animation pada tahun 2002. Watak Abang Sidi, si penglipur lara, itu sendiri dialih suara oleh seniman Allahyarham Dato' Aziz Sattar. Apa yang menariknya, "Abang Sidi" mengetengahkan tema zaman dahulu di Arab, berkonsepkan Islam dan setiap episod menceritakan kisah yang berbeza serta penuh tauladan.

Cinema Online, 28 Mac 2020


Showtimes