Temubual

Filem seram Indonesia wajib tonton

Penulis: Ashraf Nasser


Filem manakah yang akan menjadi pilihan anda?

Tahun 2017 menyaksikan filem seram dari Indonesia berjudul "Pengabdi Setan" telah menjadi tumpuan utama di industri perfileman di Indonesia apabila ia bukan sahaja berjaya mendapat kutipan pecah panggung, malah turut berjaya mendominasi festival filem.

Kejayaan filem arahan Joko Anwar ini bukan sahaja di negara sendiri, malah di Malaysia filem yang turut menampilkan pelakon tempatan iaitu Bront Palarae ini turut mendapat sambutan hangat daripada penonton biarpun tiada promosi besar yang dibuat di sini.

Tidak dapat dinafikan Indonesia merupakan antara negara yang handal dalam menghasilkan filem-filem seram baik. Antara filem seram klasik yang masih menjadi igauan penonton sehingga kini adalah seperti "Sundel Bolong" dan juga "Mak Lampir".

Untuk tahun ini, masih banyak lagi filem seram yang bakal dihasilkan dan untuk penghujung bulan Mac dan sepanjang bulan April ini. terdapat beberapa buah filem seram yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia.

Jadi jom baca senarai filem-filem Indonesia yang wajib anda tonton!

Bayi Gaib


Kita mulakan dengan filem "Bayi Gaib" yang akan ditayangkan pada hujung bulan ini. Ia berkisarkan tentang sepasang suami isteri iaitu, Raja, seorang kontraktor Berjaya yang sangat teruja dan gembira apabila isterinya Farah disahkan hamil. Namun kegembiraan mereka tidak kekal lama apabila bayi mereka tidak lahir secara normal. Susulan itu, insiden aneh dan misteri mula berlaku di sekeliling mereka.

Filem arahan Rizal Mantovani ini akan menampilkan pelakon tempatan iaitu Ashraf Sinclair dan Rianti Cartwright sebagai peneraju. Manakala Mario Lawalata dan Fadika Royandi sebagai pelakon pembantu.

Tarikh tayangan: 29 Mac 2018

Mata Batin


Dari judul sahaja anda pasti sudah dapat menjangkakan filem ini mengenai apa kerana "Mata Batin" ini merujuk kepada seseorang yang boleh melihat benda halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia berkisarkan tentang seorang gadis bernama Alia yang pulang dari Bangkok ke Jakarta apabila ibu bapanya meninggal dunia.

Dia dan adiknya Abel telah berpindah ke pinggir bandar di mana Abel kemudian memberitahu yang terdapat 'sesuatu' di dalam rumah tersebut. Dia mengakui hijabnya sudah terbuka sejak kecil lagi oleh itu dia boleh melihat benda-benda paranormal. Mereka kemudia berjumpa dengan seorang ahli paranormal bernama Windu, di mana Alia meminta supaya hijabnya dibuka juga. Namun selepas hijabnya dibuka, dia mula melihat perkara paranormal dan semangat negatif mereka telah membuatkan kedua-dua mereka dalam bahaya.

Filem arahan Rocky Soraya ini dibintangi oleh Jessica Mila dan Bianca Hello sebagai peneraju manakala Denny Sumargo dan Citra Prima sebagai pelakon pembantu.

Tarikh tayangan: 5 April 2018

Roh yang Tak Terlihat


Filem ini boleh dikatakan mempunyai mempunyai persamaan dengan "Mata Batin" kerana ia juga mengenai seorang yang boleh melihat perkara paranormal. Ia berkisarkan tentang Lidya, seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak perempuan di mana salah seorangnya iaitu, Saras, mempunyai kelebihan untuk melihat roh. Namun apa yang membuatkan filem ini lebih menarik adalah ia diangkat dari kisah sebenar yang mana jalan cerita yang ditampilkan adalah hasil penceritaan daripada roh kepada individu yang mampu berkomunikasi dengan roh.

Kebolehan ini telah membuatkan hubungan anak beranak ini retak. Namun satu satu roh seorang pelajar sekolah tinggi yang mati telah melawat Saras. Roh tersebut adalah milik rakan sekolahnya Dinda yang telah mati akibat dibuli. Mengetahui Saras boleh melihatnya, dia meminta bantuan Saras untuk menghantar mesej kepada ibunya mengenai punca kematiannya.

Filem arahan Billy Christian ini menampilkan Sophia Latjuba, Estelle Linden, Bianca Hello dan Roweina Umboh sebagai peneraju.

Tarikh tayangan: 12 April 2018

Rumah Belanda


Apabila bercerita mengenai cerita seram, ia pasti membabitkan rumah, dan filem "Rumah Belanda" tidak terkecuali menggunakan rumah sebagai latar belakang. Dalam filem ini, ia berkisarkan tentang, Raya, seorang penulis buku yang telah diupah oleh seorang jutawan bernama Hilda untuk menulis novel biografi Aline.

Raya telah dihantar untuk tinggal di sebuah rumah agam mewah supaya dia dapat menulis dengan tenang. Tetapi apabila dia berada di sana, dia dan dua anaknya menjadi buruan entiti misteri. Dia yang menyedari rumah itu mempunyai rahsia gelap cuba merungkai misteri tersebut.

Diarahkan oleh Hedy Suryawan, ia dibintangi oleh Kelly Tandiono, Agung Udijana dan Grace Salsabila sebagai peneraju.

Tarikh tayangan: 12 April 2017

Cinema Online, 23 Mac 2018


Showtimes