Temubual

Raja Ilya teruja dapat bintangi filem aksi pertamanya, "KL Vampires"

Penulis: Ashraf Nasser

Raja Ilya teruja dapat bekerjasama dengan dua pelakon aksi terkenal Indonesia iaitu Cecep Arif Rahman dan Donny Alamsyah.
Raja Ilya teruja dapat bekerjasama dengan dua pelakon aksi terkenal Indonesi
iaitu Cecep Arif Rahman dan Donny Alamsyah.

Lebih sedekad bergelar sebagai anak seni dalam dunia lakonan, Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Ramilah Begum Raja Mohammad, telah berjaya menempa nama sebagai salah seorang pelakon hebat tanah air.

Terbaru, dia bakal muncul dengan sebuah filem aksi yang merupakan sebuah naskhah fiksyen berjudul "KL Vampires".

Menurut pelakon berusia 34 tahun ini, dia tidak fikir lama untuk bersetuju membintangi filem tersebut selepas ditawarkan oleh pengarahnya iaitu Daven R, kerana dia sememangnya sudah lama ingin bekerjasama dengan pengarah berbakat besar itu.


"KL Vampires" adalah sebuah naskhah fiksyen berkaitan dengan vampire yang sering kita tonton menerusi filem luar negara, tetapi untuk filem ini, pengarah memasukkan elemen tempatan iaitu dengan mengangkat mitos Raja Bersiong.

Baru-baru ini ketika tayangan perdana filem ini berlangsung, Cinema Online sempat menemubual aktres berbakat besar ini bagi berkongsi pengalamannya menjayakan filem ini.

Jom ikuti temubual bersama Raja Ilya.


Pengarah Daven R bersama barisan pelakon "KL Vampires".

Cinema Online: Boleh kongsi watak yang dibawa anda dalam "KL Vampires"?

Raja Ilya: Dalam filem "KL Vampires" saya bawa watak sebagai Ratu Vampires bernama Ratu Citra Sari yang merupakan anak kepada Raja Bersiong. Watak ini sedikit berbeza dengan watak yang saya pernah bawa sebelum ini kerana dalam filem ini perwatakan saya seorang yang serius dan tiada dialog komedi yang dilontarkan oleh saya. Apa yang membuatkan saya teruja dengan filem ini adalah impian saya untuk berlakon filem aksi akhirnya tercapai juga.

Selain aksi, apa yang membuatkan anda ingin terlibat sama?

Sebelum ini saya memang teringin untuk bekerja di bawah arahan Daven R dan hampir menjayakan sebuah projek, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan. Kemudian apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem "KL Vampires", saya rasa tidak boleh menolaknya kerana percaya dengan hasil kerjanya yang sangat membanggakan.

Untuk babak aksi, adakah anda buat sendiri atau adakah anda gunakan 'stunt double'?

Pihak produksi memang ada sediakan 'stunt double' untuk babak aksi, tetapi saya ambil keputusan untuk buat sendiri kerana sudah lama saya impikan berlakon dalam filem aksi, jadi selagi babak aksi itu saya boleh buat, pasti saya akan lakukan sendiri.

Adakah dengan kehadiran koreografer terkenal Indonesia ia membuatkan anda lebih teruja?

Ya sudah pasti! Pada mulanya saya macam tidak percaya apabila pihak produksi memberitahu akan membawa masuk koreografer yang juga pelakon filem aksi "The Raid Redemption" untuk terbabit dalam filem ini, namun saya kagum dengan keseungguhan pihak produksi yang mahu menghasilkan sebuah filem yang berkualiti dan memenuhi citarasa penonton.

Filem ini baru ditayangkan selepas hampir tiga tahun siap? Adakah anda rasa filem ini masih relevan?

Pada mulanya, saya hampir putus asa berharap filem ini akan ditayangkan kerana apabila saya bertanya mengenai filem kepada pengarah (Daven R), dia berkata tidak pasti lagi kerana proses untuk menyiapkan filem itu masih panjang. Saya memang nak 'profile' filem aksi oleh itu saya berharap sangat filem ini dapat ditayangkan. Bagaimanapun Daven kemudian menghubungi saya dan memaklumkan yang filem ini berkemungkinan besar boleh ditayangkan sebelum hujung tahun ini dan Alhamdulillah ia tercapai juga.

Menjawab pertanyaan anda mengenai masih relevankah filem ini walaupun sudah hampir tiga tahun, bagi saya filem ini masih relevan kerana rasanya belum pernah ada lagi pembikin filem tempatan yang menghasilkan filem fiksyen seperti ini. Ia sesuatu yang baru dan saya harap penonton menyukainya.

Adakah anda bersikap selektif terhadap tawaran berlakon memandangkan kelibat anda kurang di lihat di layar perak dan juga di kaca televisyen?

Saya tidaklah bersikap terlalu selektif tetapi saya sudah menetapkan sasaran iaitu untuk berlakon filem sekurang-kurangnya setahun sekali. Tetapi sekiranya ada naskhah yang menarik perhatian saya, sudah pasti saya akan terima. Sama juga seperti drama mahu pun telefilem. Walaupun saya kini sering berada di Australia selepas mendirikan rumah tangga, namun saya sanggup ulang alik ke Malaysia untuk berlakon.

Selain berlakon, anda juga dikatakan bakal menerbitkan sebuah filem bajet besar sebelum ini? Apakah perkembangan filem itu?

Ya betul, memang sebelum ini saya ada maklumkan yang saya dan rakan kongsi bakal menerbitkan sebuah filem bajet besar tetapi kami terpaksa menangguhkan dahulu kerana banyak perkara yang masih belum selesai. Kami tidak mahu terburu-buru menghasilkan filem, sebaliknya mahu pastikan segala proses seperti skrip, barisan pelakon dan apa yang dikehendaki dapat dimuktamadkan baru kami akan memulakan proses penggambaran. Saya juga telah maklumkan kepada pihak pelabur mengenai penangguhan ini kerana saya tidak mahu 'buang' duit menghasilkan filem tidak berkualiti. Jadi saya sanggup tangguh terlebih dahulu dan saya bersyukur pihak pelabur memahami.

Jadi apa perkembangan terbaru anda?

Saya ada beberapa tawaran berlakon tetapi saya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana ia masih lagi dalam proses perbincangan. Saya akan maklumkan sekiranya sudah ada perjanjian kelak.

Cinema Online, 16 November 2019


Related Movies:
Soulmate Hingga Jannah (Malay) (17 Feb 2017)

You May Also Like:
To read this article in English, click HERE
Showtimes