Temubual

Reen Rahim teruja dapat berlakon dengan ramai pelawak 'otai'

Penulis: Ashraf Nasser

Reen Rahim akui seronok dan tidak tertekan langsung sepanjang penggambaran filem 'Syif Malam Raya'.
Reen Rahim akui seronok dan tidak tertekan langsung sepanjang penggambaran filem "Syif Malam Raya".

Noreen Ashikin Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan Reen Rahim mula mencipta nama dalam dunia hiburan pada tahun 2011 apabila berjaya menjuarai rancangan realiti "Pilih Kasih" musim ketiga dan tidak menunggu lama apabila terus disambar penerbit drama untuk membintangi drama sulungnya "Aku Tak Percaya Cinta" pada tahun 2012.

Sejak dari itu, nama Reen semakin laris dan menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk mendapatkan khidmatnya lakonannya.

Terbaru, Reen baru sahaja muncul dengan filem Raya terbarunya berjudul "Syif Malam Raya" yang ditayangkan di saluran televisyen berbayar Astro First sejak 21 Mei lalu yang mana ia telah mendapat sambutan yang cukup memberasangkan apabila berjaya meraih kutipan RM1.6 juta dalam tempoh empat hari sahaja.


Filem arahan Profesor Dato' Dr. A Razak Mohaideen ini berkisarkan mengenai Zaid dan Hisyam yang sedih apabila permohonan cuti raya mereka ditolak berikutan mereka ditugaskan untuk menghantar satu mayat ke Ipoh pada malam Raya. Ketika dalam perjalanan mereka telah menumpangkan Mira dan Yoh untuk pulang beraya ke kampung, namun kejadian aneh mula berlaku.

Selain Reen, filem ini turut dibintangi ramai pelakon komedi terkenal seperti Atu dan Shariff dari kumpulan Zero, Ropie, Saiful Apek, Danial Lawak Solo, Azlee Senario, Emelda Rosemila, Nadia Brian, Sheila Mambo dan selebriti YouTube, Yoe Pare, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly.

Baru-baru ini Cinema Online sempat menemubual aktres berbakat besar ini bagi berkongsi pengalamannya menjayakan filem seram komedi ini.

Jom ikuti temubual bersama Reen Rahim.

Salah satu babak dalam 'Syif Malam Raya'!
Salah satu babak dalam "Syif Malam Raya"!

Cinema Online: Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam filem "Syif Malam Raya"?

Reen: Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Mira yang juga merupakan seorang kakak kepada Yoh lakonan selebriti YouTube Yoe Parey. Mira seorang kakak yang bersikap 'pelindung' terhadap adiknya.

Apa yang membuatkan anda ingin berlakon dalam filem ini?

Salah satu faktor mengapa saya bersetuju untuk membintangi filem ini adalah kerana pengarahnya iaitu Razak Mohaideen. Saya membesar dengan filem-filem komedi arahan Razak Mohaideen seperti "Anak Mami", jadi saya tidak akan lepaskan peluang untuk terlibat dalam filem komedi arahan pengarah hebat ini kerana sebelum ini saya pernah berlakon di bawah arahan Razak Mohaideen menerusi "Soulmate Hingga Jannah" tetapi ia bukan filem komedi.

Selain itu, sebab lain yang membuatkan saya teruja untuk berlakon dalam filem ini adalah barisan pelakonnya yang menampilkan ramai pelakon komedi 'otai'. Malah, saya juga sangat tertarik dengan mesej-mesej berbentuk pengajaran dan nilai murni diterapkan dalam filem ini yang mana pada pendapat saya filem seperti ini agak jarang dihasilkan.

Memandangkan lebih 50 peratus pelakon dalam "Syif Malam Raya" adalah pelakon komedi, adakah proses penggambaran menjadi sukar buat anda?

Tidak langsung. Saya sangat gembira sepanjang berada di set penggambaran dan tidak berasa tertekan langsung kerana sentiasa ketawa apabila bersama mereka. Walaupun mereka ini merupakan 'otai' dalam dunia komedi, namun mereka sangat merendah diri dan tidak lokek langsung untuk berkongsi ilmu dengan semua pelakon. Ia membuatkan suasana di lokasi penggambaran sangat harmoni.

Setiap pelakon pasti mempunyai cabaran tersendiri ketika menjayakan watak, jadi apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang penggambaran?

Sejujurnya saya tidak berdepan sebarang cabaran pun sepanjang penggambaran kerana kesemua barisan pelakon, pengarah dan kru produksi memberikan komitmen yang sangat tinggi. Saya juga tiada masalah untuk menjayakan watak saya kerana saya akan pastikan berlatih dan berbincang dengan pengarah dan pelakon sebelum kami mula 'shoot'.

Apa komen anda apabila filem "Syif Malam Raya" yang sepatutnya ditayangkan di pawagam beralih kepada Astro First?

Saya sebenarnya agak sedih juga apabila mendapat tahu filem ini tidak dapat ditayangkan di pawagam berikutan pawagam di seluruh negara ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Berikutan filem ini bertemakan Hari Raya, jadi rasanya penerbit terpaksa ambil keputusan untuk tayangan filem ini di platform lain dan tidak boleh menunda tarikh tayangan filem ini seperti filem-filem lain. Apa-apa pun saya sangat berharap agar filem ini mampu kembali menarik minat penonton untuk menonton semula filem bertemakan Hari Raya yang boleh dikatakan sudah lama tidak dihasilkan.

Selepas ini apa perkembangan terbaru anda?

Saya ada dua buah filem lagi yang menanti tarikh tayangan iaitu filem seram "Town Mall" dan sebuah lagi "Omerta". Bagaimanapun untuk projek terbaru selepas Hari Raya ini saya tidak dapat dedahkan lagi kerana kesemua projek tersebut terpaksa ditunda akibat PKPB, jadi apa-apa pun perlu tunggu dahulu untuk melihat keadaan semasa sebelum saya boleh buat sebarang pengumuman mengenai projek terbaru.

Cinema Online, 31 Mei 2020



You May Also Like:
To read this article in English, CLICK HERE
Showtimes