Temubual

Shaheizy Sam: "Polis Evo 3" lebih santai dan banyak elemen hiburan

Penulis: Ashraf Nasser

Shaheizy Sam akui tidak tertekan jayakan filem ketiga "Polis Evo".
Shaheizy Sam akui tidak tertekan jayakan filem ketiga "Polis Evo".

Selepas hampir dua tahun tidak muncul dengan sebarang filem, pelakon Shaheizy Sam bakal kembali beraksi di layar perak tidak lama lagi menerusi filem sekuel dari francais "Polis Evo" iaitu "Polis Evo 3" pada tahun ini.

Menurut Shaheizy Sam atau lebih mesra dengan panggilan Sam, dalam filem ketiga ini dia akan kembali menghidupkan watak asalnya sebagai Inspektor Khai bersama gandingan utamanya iaitu Zizan Razak yang akan membawa watak sebagai Inspektor Sani.

Untuk filem ketiga ini, penerbit sekali lagi mempertaruhkan pengarah berbeza apabila tanggungjawab menggarap naskhah terbaru yang diberikan kepada pengarah muda berbakat besar Syafiq Yusof.


Jika filem kedua mencetuskan kontroversi apabila isu sensitif pengganas Islamik diketengahkan sehingga menyebabkan ramai yang mengecam teruk dan ada gerakan yang meminta orang ramai memboikot filem itu, bagaimanapun ia tidak menjejaskan kutipan filem itu.

Untuk filem ketiga, penerbit mahukan sesuatu yang baru dan oleh itu Syafiq Yusof diberi tanggungjawab untuk menggarap filem ini yang mana ia akan kembali mengangkat genre asal filem ini iaitu aksi komedi.

Baru-baru ini Cinema Online telah dijemput untuk ke lokasi penggambaran "Polis Evo 3" di Kuala Lumpur dan berpeluang untuk menemubual salah seorang pelakon utama filem ini iaitu Shaheizy Sam bagi berkongsi pengalamannya menjayakan filem ketiga ini.

Jom ikuti temubual bersama Shaheizy Sam.

Cinema Online: Apakah kelainan yang anda akan bawa untuk watak Inspektor Khai kali ini?

Sam: Untuk filem "Polis Evo 3" ini watak saya tidaklah seberat seperti filem kedua yang menuntut saya untuk buat badan, selain watak yang terlalu serius yang mana saya habiskan lebih setahun untuk buat persiapan untuk "Polis Evo 2" kerana isu yang ditampilkan berat. Bagaimanapun, untuk filem ketiga ini watak saya gembira kerana genre kali ini lebih ke arah komedi, tetapi masih mengekalkan unsur-unsur aksi mendebarkan.

Saya juga tidak mahu terlalu penat sepanjang penggambaran "Polis Evo 3" dan bersyukur kali ini tidak lagi banyak tekanan dihadapi, sebaliknya banyak bahagian yang memaparkan unsur kekeluargaan, aksi, serta hiburan yang masih kuat untuk menarik perhatian penonton.

Adakah anda dikehendaki untuk kembali bertubuh sasa seperti filem kedua?

Ya, berikutan dalam filem pertama dan kedua saya perlu buat badan, jadi untuk filem ketiga ini saya juga perlu buat badan semula. Ini kerana selepas selesai penggambaran filem kedua, badan saya naik dengan mendadak kerana saya tidak menjaga makan dan kurang bersenam. Jadi, saya perlu masuk ke gim semula untuk dapatkan bentuk badan ideal. Bagaimanapun untuk filem ketiga ini, saya tidak perlu buat badan teruk-teruk macam filem kedua kerana pengarah mahukan tubuh saya nampak sasa seperti biasa sahaja. Jadi agak mudah untuk saya membuat badan semula dalam tempoh yang singkat.

Boleh kongsikan sedikit mengenai watak anda untuk filem ketiga ini?

Watak saya kali ini tidaklah serius seperti filem kedua. Tetapi apa yang menariknya adalah penonton akan dapat melihat karakter sebenar Inspektor Khai yang mana kisah silamnya diceritakan dan akan ada kaitan dengan watak antagonis yang dilakonkan oleh Sharnaaz Ahmad. Itu sahaja yang boleh saya cakap kerana penerbit tak benarkan kami dedahkan butiran lanjut tentang watak kami.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang penggambaran berlangsung?

Saya tak nafikan ia bukan mudah untuk kembali beraksi dalam "Polis Evo 3" kerana ia merupakan satu proses yang sukar dan mencabar. Walaupun filem ketiga ini tidaklah seberat seperti filem kedua, namun ia tetapi mempunyai cabarannya tersendiri. Jadi apabila saya sudah masuk ke set penggambaran saya sudah pegang satu tanggungjawab iaitu kena lakukan yang terbaik. Saya juga tidak terlalu fikirkan cabaran yang akan dihadapi pada hari esok, sebaliknya fokus pada setiap babak dengan berikan lakonan mantap.

Adakah anda mengalami sebarang kecederaan sepanjang penggambaran berlangsung?

Sebagai seorang pelakon filem aksi sudah pasti saya tidak dapat mengelak daripada mengalami kecederaan ketika penggambaran. Bila badan sudah makin keras kerana sudah lama tidak berlatih, dengan saya jenis yang suka redah tanpa memanaskan badan terlebih dahulu, menyebabkan saya mengalami kecederaan bahu. Bagaimanapun mujur ada ahli fisioterapi yang sentiasa bersedia di set penggambaran.

Jadi apabila saya rasa sakit memang saya akan pergi jumpa mereka. Bukan saya seorang sahaja, tetapi pelakon lain juga terdedah dengan kecederaan tetapi mujur ahli fisioterapi ada untuk merawat.

Apakah harapan anda untuk filem kali ini?

Seperti filem-filem saya sebelum ini, saya mengharapkan yang terbaik. Walaupun filem kedua sebelum ini mendapat kritikan hebat daripada orang ramai, tetapi ia tetap berjaya meraih kutipan pecah panggung, malah lebih tinggi dari filem pertama. Jadi untuk filem ketiga ini yang dihasilkan dengan lebih santai dan hiburan, saya berharap ia mampu mendapat sambutan lebih memberangsangkan.

Selain Shaheizy Sam, filem arahan Syafiq Yusof ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Zizan Razak, Nora Danish, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Fara Ali Khan dan ramai lagi.

Cinema Online, 1 Mac 2020


Related Movies:
Polis Evo 2 (Malay) (29 Nov 2018)

Jwplayer article page COSG

You May Also Like:
To read this article in English, click HERE.
Showtimes